suria

Ngeri dikejar harimau selepas COD, penghantar makanan tidak dapat tidur nyenyak... terbayangkan saiz 'pak belang'

Lokasi Mohd Shafiq hampir diterkam harimau belang.

TINDAKAN pantas seorang pekerja penghantar makanan memecut motosikal yang ditunggang, berjaya menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa baham seekor harimau belang.

Mohd Shafiq Mamat, 27, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam Rabu lalu, semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint Indah, Dungun Terengganu yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Sotong ada sijil halal Jakim, netizen sebar fitnah bakal disaman syarikat pengeluar

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan pantas jurugambar The Star, The Sun selamatkan wanita di Jambatan Pulau Pinang

Menceritakan semula kejadian, ujarnya, dia nyaris diterkam harimau selepas menghantar pesanan seorang pelanggan yang tinggal di Taman Bersekutu dekat Kampung Paya Dusun.

"Saya tidak pasti harimau itu muncul dari mana sebab tiba-tiba sahaja sudah berada di belakang saya dalam anggaran jarak lima meter (m) dan saya terus memecut laju motosikal sejauh 100 meter.

"Tak sangka haiwan itu sempat kejar sehingga berada betul-betul di sebelah motosikal saya. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu dan nampak seolah-olah haiwan tersebut mahu menerkam saya," kata Mohd Shafiq menceritakan detik cemas itu ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Mohd Shafiq yang hampir dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan berkata, insiden itu merupakan pengalaman paling ngeri pernah dilaluinya sepanjang bekerja sebagai penghantar makanan.

"Sebelum ini kena kejar anjing adalah perkara biasa. Kali ni dikejar harimau agak luar biasa dan mengerikan.

Tangkap layar status yang dimuat naik Mohd Shafiq di Facebook berhubung insidennya dikejar harimau.

Tangkap layar status yang dimuat naik Mohd Shafiq di Facebook berhubung insidennya dikejar harimau.

"Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan kejadian saya alami. Saya sudah rasa serik untuk melalui kawasan itu. Namun, takkan saya hendak menolak rezeki jika perlu lalu jalan itu lagi," katanya.

Menurut Mohd Shafiq, saiz harimau belang itu lebih kurang sebesar motosikal ditunggangnya.

Katanya, insiden itu sudah dalam makluman pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu dan satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kakitangan jabatan itu telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan membuat pemantauan.

Katanya, pada masa sama orang ramai dinasihati membuat laporan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan buas bagi memudahkan tindakan.

"Saya harap kejadian sebegini akan dilaporkan segera kepada pihak Perhilitan bukan hanya dikongsi di media sosial. Lebih cepat laporan dibuat dapat memudahkan siasatan," katanya. - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain