suria

Sotong ada sijil halal Jakim, netizen sebar fitnah bakal disaman syarikat pengeluar

Syarikat pengeluar menafikan dakwaan netizen. - Gambar Malaysiakini

SYARIKAT pengeluar makanan sejuk beku (frozen) sotong menangkis dakwaan khabar angin yang mengatakan produknya diperbuat daripada dubur babi seperti tular baru-baru ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap warganet yang menyebarkan dakwaan tidak berasas itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke sotong frozen sebenarnya dubur babi? Meriah perdebatan grup WhatsApp, anak-anak paling risau mak ayah terpedaya berita palsu

Berkata mengenainya, ujar beliau, pihaknya mendapati dua netizen menyebarkan khabar angin itu di Facebook untuk memburuk-burukkan produk cincin sotong keluaran syarikat induk mereka, Dayou Group di China.

"Netizen terbabit mendakwa, cincin sotong tersebut tidak halal kerana diperbuat daripada dubur babi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rodney berkata khabar angin itu menimbulkan panik di kalangan orang ramai dan merosakkan imej serta menjejaskan jualan produk mereka sehingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Wakil Perkhidmatan Pensijilan Halal Shandong di Malaysia, Abd Aziz Jamaluddin; Pengarah Shen Hua Resources, Koh Sing Yee dan Pengurus Khir Beng Tecj & Son Fisheries Sdn Bhd, Alicia Khor.

Difahamkan, Rodney dan Alicia juga membuat laporan polis berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap produk keluaran syarikat mereka.

Dia menggesa pihak polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya menyiasat dan membersihkan nama syarikat itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan membuat pendakwaan kerana memfitnah.

Cincin sotong mendapat persijilan halal Jakim dari wakilnya di Shandong China.

Cincin sotong mendapat persijilan halal Jakim dari wakilnya di Shandong China.

Selain itu, Rodney berkata pihaknya juga akan menyaman individu yang menyebarkan khabar angin itu selepas berbincang dengan peguam.

Rodney juga menjelaskan mereka juga akan melaporkan kepada Biro Pengaduan Awam Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu.

Dalam sidang media itu dia turut menunjukkan kepada media proses penghasilan cincin sotong berkenaan dan sijil halal yang diperoleh untuk produk berkenaan.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap siasatan Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan tiada laporan dikeluarkan walaupun sampel telah diambil di beberapa negeri termasuk Kedah dan Selangor.

Dalam pada itu, berdasarkan dokumen pensijilan halal yang diberikan, cincin sotong itu disahkan oleh Shandong Halal Certification Services Sdn Bhd (SHC), yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan pensijilan halal asing di China.

Bercakap pada sidang akhbar itu, Aziz mempertahankan cincin sotong berkenaan dan mengatakan cara terbaik untuk menyelesaikan isu itu ialah dengan menghantar produk berkenaan untuk menjalani ujian makmal.

"Untuk menyelesaikan masalah ini, ia semudah mengambil semua cincin sotong yang diimport ke dalam bekas dan menghantarnya untuk ujian," katanya.

Rodney berkata mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyediakan maklumat mengenai produk tersebut. - Malaysiakini

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain