suria

Bapa selongkar sampah demi sesuap nasi buat keluarga antara ribuan individu dibantu Skuad Waja

Dynas Mokhtar diangkat menjadi ikon Skuad Waja

HAMPIR 300,000 orang mendapat pendedahan mengenai isu-isu keselamatan termasuk keganasan terhadap wanita menerusi jaringan advokasi yang dijalankan Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja) dalam tempoh kurang tujuh bulan.

Ditubuhkan pada Mac lalu, skuad yang mengangkat model dan pelakon terkenal Dynas Mokhtar sebagai ikon ini, kini menjadi antara tempat rujukan utama masyarakat terutama sekali golongan yang sering menjadi mangsa keganasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang 100 hari! Hampir 3,000 wanita dibantu jana pendapatan... mangsa keganasan rumah tangga, OKU dibela

Keberkesanan yang ditunjukkan skuad yang masih muda ini ternyata membanggakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mengimbas antara kisah-kisah menyayat hati yang dibantu skuad ini, Rina berkata mereka pernah terserempak dengan seorang lelaki yang sedang mencari “sesuatu” di sebalik timbunan sisa buangan di sekelilingnya.

Satu demi satu sampah diselak dengan penuh kesabaran tanpa menghiraukan bau busuk atau kekotoran di situ, ceritanya.

“Saya tengah cari sesuatu yang boleh dijual untuk dapatkan wang nak beli makanan untuk keluarga,” jawab lelaki tersebut yang juga seorang bapa ketika dihampiri ahli Skuad Waja di Pulau Pinang.

Nasib bapa ini, serta ribuan individu lain kini berubah dengan sedikit dorongan serta bimbingan daripada ahli Skuad Waja.



Skuad yang baru ditubuhkan ini kini mempunyai lebih 100,000 ahli.

Menjelaskan tindakan susulan yang diambil, menurut Rina, bapa tersebut telah dihubungkan dengan MyFutureJobs Perkeso, dan dia kini sudah diterima untuk bertugas sebagai operator di Boon Siew Groups di negeri berkenaan.

Sebuah lagi kisah yang terkesan dihatinya melibatkan seorang suri rumah yang setia menjaga suaminya yang menderita akibat pendarahan beku di otak dan mengalami lumpuh.

Menurut Rina, selain menjaga suaminya yang hilang keupayaan, wanita ini juga terpaksa bekerja keras untuk menyara tiga anak mereka yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Keluarga berkenaan telah dibantu melalui kutipan derma kilat dan bantuan kewangan yang diterima membolehkan mereka membeli sebuah mesin oksigen yang berkualiti bernilai RM7,000 untuk kegunaan suaminya.

“Tidak cukup dengan itu, ahli Skuad Waja juga memberi bantuan psikososial termasuk memberi kata-kata semangat buat keluarga ini,” kongsinya.



Ahli Skuad Waja akan diberi latihan berstruktur serta kemahiran asas psikologi.

Menurut Rina, setiap ahli Skuad Waja mendapat latihan berstruktur bagi mengasah kemahiran mereka menyampaikan malumat serta memberi bimbingan asas psikologi.

Katanya, sebuah modul telah dibangunkan dengan kerjasama KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita dan Institut Sosial Malaysia yang memberi fokus kepada kemahiran menyampaikan ilmu dan asas psikologi.

Ini penting bagi membantu meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga, komuniti setempat dan masyarakat secara keseluruhannya.

Modul ini menjadi asas agar keseragaman dalam latihan dan gerak kerja Skuad Waja itu terpimpin dan tidak tersasar dari matlamatnya.

“Sebanyak 837 kes telah berjaya dibimbing dan dibantu ahli Skuad Waja sehingga 31 Oktober termasuk 503 kes yang melibatkan isu keganasan rumah tangga, kekeluargaan, undang-undang, perhubungan sosial, psikologi, gangguan seksual dan jenayah siber.

“Ahli Skuad Waja juga menerima 224 kes berkaitan isu kewangan dan mereka ini telah dibantu dengan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjana pendapatan,” Rina berkata.

Skuad Waja ini tambahnya turut mendapat khidmat nasihat dari bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) mengenai langkah-langkah segera yang perlu diambil untuk membantu mangsa khususnya keganasan rumah tangga.



Skuad Waja membantu mereka yang mengalami isu kewangan dengan merujuk mereka kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, Skuad Waja turut aktif turun padang untuk menyantuni orang awam melalui program advokasi yang diadakan.

“Seramai 289,212 orang mendapat maklumat tentang bagaimana hendak menangani isu keganasan terhadap wanita melalui program Advokasi Keganasan Terhadap Wanita, Advokasi Skuad Waja, Advokasi Klinik Destress dan Advokasi Klinik Undang-Undang,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

skuad waja, KPWKM, rina harun, dynas

Artikel Berkaitan

Artikel Lain