suria

19 orang "datuk bandar" dari Selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan Sabah

Sumber berkata Februari 2022 dilihat sebagai masa terbaik untuk menyerang bagi "memperingati" pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

SATU mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan untuk menyerang Sabah dipercayai telah diadakan di selatan Filipina.

Menurut South China Morning Post, mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar itu diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan bagi merekrut 600 orang individu untuk menyerang negeri itu serta untuk menghantar pengintip.

Difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

Sumber kanan keselamatan serantau memberitahu majalah Post's This Week In Asia bahawa mesyuarat itu diadakan pada 1 Dis oleh seorang pegawai tempatan wilayah Sulu.

Pegawai yang sama juga bertanggungjawab untuk mengumpulkan datuk bandar Kepulauan Sulu bagi membincangkan rancangan untuk menubuhkan "Tentera Diraja Sulu" untuk menyerang Sabah.

“Potensi rancangan itu menjadi kenyataan bergantung kepada berapa banyak sokongan politik dan dana yang boleh diperoleh daripada pelbagai pihak.

“Ramai pihak berkepentingan di Filipina dan luar negara sanggup mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik dan strategik masing-masing,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah bahawa Februari 2022 dilihat sebagai masa terbaik untuk menyerang bagi "memperingati" pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Sumber itu juga berkata pelaksanaan rancangan itu didorong oleh kegagalan pewaris Kesultanan Sulu mendapatkan persetujuan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan hak ke atas Sabah.

Media melaporkan bahawa daripada 19 datuk bandar yang menghadiri mesyuarat rahsia itu, 11 bersetuju dengan rancangan itu manakala selebihnya berada di atas pagar, tidak bersetuju atau menolaknya.

“Setiap Datuk Bandar dijangka menyediakan 50 orang yang mahir dan berani untuk bertempur.

“Kos peluru dan logistik lain perlu ditanggung oleh pegawai tinggi yang turut berjanji menyumbang 500,000 peso (AS$10,000) untuk membina 100 bot laju yang akan digunakan untuk menyerang Sabah,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, pegawai tempatan itu dipercayai telah membekalkan 500 senjata api kepada wakil tempatan di Sulu yang kemudiannya akan mengagihkannya kepada anggota militia.

Sumber itu juga berkata 150 hingga 200 pengintip dari Sulu dijangka diarahkan ke Lahad Datu dan Semporna - dua bandar pantai utama di mana pasukan penceroboh mungkin mendarat.

Dalam pencerobohan 2013, dianggarkan 235 militan - sebahagian daripada mereka bersenjata - mendarat di Lahad Datu pada 11 Feb.

“Semua askar Sulu yang memasuki perairan Lahad Datu dan Semporna (dalam plot pencerobohan baharu) akan membawa masuk senjata api,” kata sumber itu.

“Senjata api itu akan ditanam di sesuatu kawasan sebelum digunakan untuk menyerang (sasaran).

Bagaimanapun, sumber itu menambah bahawa "tiada sesiapa" telah menyusup masuk ke Sabah tetapi memberi amaran bahawa komplot Sulu mempunyai sleeper cell di sana.

Sumber keselamatan itu berkata aktiviti risikan dan keselamatan telah dipertingkatkan di Sabah sejak mesyuarat itu dilakukan. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain