suria

Pemandu direman selepas rempuh remaja hingga melambung atas bumbung

Mangsa nahas diusung untuk diturunkan dari bumbung oleh pasukan penyelamat.

SUSULAN insiden seorang remaja 'melambung' ke atas bumbung bengkel kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pak Badol di Bachok, Kelantan, pada Selasa, pemandu kereta dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret di Bachok, Rabu.

Perintah terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Dalam kejadian pukul 11 pagi Selasa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, dilaporkan melambung lebih tiga meter apabila motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta Honda Civic.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tempoh reman terhadap suspek berkuat kuasa selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan bagi membantu siasatan berkait kejadian kemalangan itu dan penyeludupan dadah yang terbongkar apabila tiga gram heroin serta 102 pil kuda ditemui ketika pemeriksaan dilakukan oleh polis ke atasnya selepas kemalangan itu.

"Berlaku pergelutan ketika pemeriksaan fizikal dilakukan sebelum polis menjumpai dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar tiga gram dan 102 biji pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM3,020.

"Sehubungan itu, suspek yang beralamat di Selising, Pasir Puteh itu ditahan bagi membantu siasatan bukan sahaja berkait kes kemalangan tetapi juga berkaitan dadah-dadah yang ditemui pada suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dilaporkan, mangsa mengalami patah paha kiri dan tangan kiri akibat rempuhan kuat kereta dipandu suspek hingga melambung dan terlentang di atas atap zink sebuah bengkel di tepi jalan. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain