suria

Lapan beradik yatim piatu terharu Perkeso tampil bela nasib selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyerahkan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) kepada waris sulung, Nazurah Nabilah di kediamannya di Bukit Beruntung, Rawang pada Selasa. - Foto AZLINA ABDULLAH

MESKIPUN masih bersedih dengan pemergian kedua ibu bapa tersayang akibat jangkitan virus Covid-19 pada pertengahan Julai lalu, Nazurah Nabilah Ben Yajeed perlu mencekalkan hatinya demi menjaga tujuh adik-beradiknya yang lain.

Memegang amanah dan pesan arwah bapanya, Ben Yajeed Bernie untuk menjaga keluarga mereka, Nazurah berjanji akan menunaikan permintaan tersebut.

"Apa juga yang terjadi, saya tidak akan berpisah dengan adik-beradik dan sentiasa mengingati pesanan dan amanah bapa untuk menjaga mereka.

"Sedih memang sedih, tetapi ini semua sudah ketentuan Allah. Selagi saya terdaya, saya akan kuatkan semangat demi adik-beradik saya yang lain," katanya kepada mStar.

Nazurah ditemui di kediamannya di Bukit Beruntung, Rawang selepas mendapat kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed pada Selasa.

Lapan beradik Perkeso

Nur Rawdhah Nabilah memegang foto perkahwinan ibu bapanya sambil disaksikan oleh empat abang dan kakaknya.

Hadir sama Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim, Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu dan Pengurus Perkeso Rawang, Khairul Mizan Md Said.

Episod duka yang menimpa lapan adik-beradik itu bermula apabila bapa mereka, Ben Yajeed Bernie, 45, menghembuskan nafas terakhir pada 16 Julai lalu di Hospital Selayang akibat Covid-19.

Selang dua hari kemudian, isterinya, Noraini Ibrahim, 43, pula meninggal dunia akibat jangkitan wabak sama di Hospital Sungai Buloh.

Pemergian pasangan itu telah menyebabkan lapan beradik iaitu Nazurah Nabilah, 19, Muhammad Muzakkir, 18, Nurhani Nabilah, 16, Nurnasuhah Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Bennazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8 dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4, hilang tempat bergantung.

Kisah menyayat hati menimpa lapan beradik itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perkeso.

Bertindak setelah melihat laporan akhbar dan media sosial, Skuad Perkeso Prihatin mengambil langkah proaktif dengan menyemak rekod caruman mangsa dua hari setelah kepergian mangsa dan mendapati mereka merupakan pencarum dan memenuhi syarat kelayakan faedah ditetapkan.

Lapan beradik Perkeso

Dr. Mohammed Azman memberitahu Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) akan dibayar setiap bulan sehingga anak bongsu daripada lapan beradik itu mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Dr. Mohammed Azman memberitahu selain menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM4,000, waris juga layak menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan bagi pihak arwah bapa.

Selain itu, waris juga layak untuk menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi arwah ibu ekoran arwah dijangkiti virus itu ketika berada di tempat kerja.

"Sejak 2016, Skuad Perkeso Prihatin telah diwujudkan dan Alhamdulillah ramai pencarum yang mendapat manfaat daripadanya apabila faedah yang layak mereka terima diproses tanpa perlu menunggu waris datang membuat semakan.”

"Kebiasaannya pihak skuad akan mendapat maklumat daripada laporan media, ketua kampung atau wakil masyarakat dan Perkeso akan terus datang ke rumah dan menyemak sekiranya mereka adalah pencarum.”

"Sekiranya mereka adalah pencarum, waris tidak perlu datang ke pejabat Perkeso sebaliknya kita sendiri akan terus proses kerana menjadi hasrat kami untuk mendekati dan membantu," katanya.

Lapan beradik Perkeso

Pihak Perkeso turut memberi pelbagai sumbangan barangan keperluan kepada keluarga itu pada lawatan tersebut.

Pada majlis ziarah itu, Dr. Mohammed Azman turut membuat penyerahan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang juga layak diterima oleh ibu waris untuk tempoh sepanjang arwah dirawat di hospital selain menyampaikan Kotak Prihatin berupa barangan keperluan harian keluarga itu.

Mohammed Azman memberitahu bayaran Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada lapan beradik itu akan dibuat sehingga anak bongsu, Nur Qurratu Ain Nabilah yang kini berusia empat tahun mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Sementara itu, Nazurah mengakui terharu dan berterima kasih kerana sejak kehilangan kedua ibu bapa, banyak pihak tampil membela nasib mereka sekeluarga yang sikit sebanyak membantu meringankan beban.

Kata penuntut dalam bidang elektrikal ini, Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima akan digunakan sebaik-baiknya untuk menyara keluarga selain memastikan adik-beradiknya terus mendapat pendidikan sempurna sehingga berjaya.

"Alhamdulillah tiada kata selain terima kasih yang mampu saya ucapkan kepada pihak Perkeso atas keperihatinan terhadap kami sekeluarga.

Lapan beradik Perkeso.

Nazurah (kanan) berjanji untuk menggalas tanggungawab sebagai ibu dan bapa kepada tujuh adik-beradiknya.

"Saya cukup terharu apabila terlalu ramai yang mengambil berat tentang kami adik-beradik dan berharap semua mendoakan agar semua urusan kami sentiasa dipermudahkan selepas ini," ujarnya.

Bagi membolehkan dia berada dekat dengan adik-beradiknya, Nazurah memberitahu dia yang sebelum ini menuntut di Politeknik Mersing, Johor sudah dapat bertukar ke Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang, Perak yang lebih dekat dengan rumahnya.

"Saya mahu meneruskan pengajian kerana ini adalah amanah ibu bapa dan Alhamdulillah bagi membolehkan saya berada dekat dengan adik-beradik, saya dapat bertukar ke politeknik yang lebih dekat.

"Setakat ini tugas menguruskan keperluan adik-beradik saya boleh lakukan kerana sudah terbiasa menjaga mereka selain turut dibantu oleh ibu saudara.

"Ketika ini pun kelas dilakukan secara dalam talian, jadi buat masa sekarang saya bersama dengan adik-beradik di rumah," katanya.

Lapan beradik Perkeso

Meskipun masih bersedih namun adik-beradik ini kelihatan ceria menerima kunjungan pihak Perkeso.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mohammed Azman memberitahu sehingga hari ini, sebanyak 11,713 pencarum Perkeso telah menerima bayaran faedah Perkeso disebabkan pandemik Covid-19 ini.

Daripada angka itu, pihaknya telah mengeluarkan jumlah bayaran sebanyak RM11,117,702.96 juta.

Pencen Penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Antara syarat Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman.

Manakala Faedah Tanggungan pula adalah salah satu faedah dalam Skim Bencana Pekerjaan yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

Contoh orang tanggungan termasuklah balu, duda, anak berusia di bawah 21 tahun, ibu, bapa, adik-beradik, datuk atau pun nenek.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain