suria

"Rayuan ikhlas jutaan rakyat...tidak dapat saya sambut" - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin umum letak jawatan sebagai Perdana Menteri bermula hari ini.

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui menerima rayuan rakyat yang mahu beliau meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri walaupun perlu melepaskan jawatan itu selepas kehilangan majoriti Dewan Rakyat.

Malah katanya, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi gagal berbuat demikian kerana kerakusan segelintir pihak merebut kuasa.

"Rayuan ikhlas dari jutaaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan saya dengar.

"Namun rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan majoriti ahli Dewan Rakyat," katanya dalam perutusan khas hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih atas peluang ini...” - KJ, anggota Kabinet serah surat letak jawatan

ARTIKEL BERKAITAN: PM tiba di Istana Negara, menghadap Agong

Tambah Muhyiddin, jawatan yang dipikul sebagai Perdana Menteri bukan satu kemegahan sebaliknya hadir dengan bebanan yang sangat berat.

"Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama, saya terus digugat dari segi politik.

"Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya," katanya.

Menurut Muhyiddin, perkara yang berlaku ketika ini adalah ketentuan Allah SWT dan merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik beliau.

"Enam tahun yang lalu, saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

"Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah (SWT) mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri," ujar beliau lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Terdahulu, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara di Facebook, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini.

Tambah kenyataan itu, Agong juga berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri interim sehingga lantikan baharu dibuat.

"Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

"Justeru, pada hemat Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat," ujar kenyataan terbabit.

Muhyiddin menghadap Agong pada tengah hari tadi bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut mengadakan mesyuarat khas Kabinet pada sebelah pagi selama tiga jam di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain