suria

Syarikat mungkin boleh beroperasi penuh jika semua pekerja lengkap 2 dos vaksin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedia pertimbangkan syarikat beroperasi penuh jika semua pekerja mendapat lengkap dua dos vaksin.

KERAJAAN bersedia untuk membenarkan syarikat beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada Isnin berkata kerajaan akan menyediakan beberapa insiatif bagi menarik syarikat menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas) yang membolehkan premis mereka dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi tujuan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.

ARTIKEL BERKAITAN : Penerima BPR akan terima bayaran secara berperingkat mulai esok, Bantuan Khas Covid-19 bermula Ogos

ARTIKEL BERKAITAN : PM umum diskaun elektrik sehingga 40 peratus, internet percuma diteruskan dan kawalan harga barang keperluan


Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang hanya perlu memudahcara urusan logistik yang berkaitan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi perlaksanaan Pikas.

"Di bawah inisiatif ini antara lainnya kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19.

"Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.

"Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain