suria

Ahli sukan yang berpangkalan di luar negara sahaja dibenarkan bawa isteri - Imigresen

Jabatan Imigresen berkata kebenaran untuk membawa pasangan diberikan kepada atlet Malaysia yang berpangkalan di luar negara. Gambar hiasan

ATLET Malaysia yang menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di luar negara tidak dibenarkan membawa pasangan masing-masing untuk menemani mereka.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu kenyataan berkata, ahli sukan yang menyertai kejohanan secara 'on and off' dan tidak menetap di luar negara, tidak dibenarkan membawa pasangan semasa menyertai kejohanan.

"Hanya jurulatih dan kru profesional yang terlibat dalam penyertaan atlet akan dibenarkan pergi bersama dengan atlet," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (3 Jun).

Atlet juga perlu mendapat sokongan daripada agensi kawal selia seperti Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

Jabatan itu juga menjelaskan bahawa kebenaran untuk membawa pasangan ke luar negara diberikan kepada atlet Malaysia yang berpangkalan di luar negara.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"JIM memahami terdapat dalam kalangan warganegara Malaysia yang menghadapi kesukaran untuk keluar negara atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Dalam perkara ini JIM telah menjumpai beberapa kes penyalahgunaan kelulusan permohonan keluar negara melalui MyTravelPass (MTP) oleh warganegara Malaysia melalui semakan yang dijalankan di pintu masuk negara, menggunakan kelulusan tersebut dengan tujuan lain selain daripada kategori yang dibenarkan keluar negara.

"Bagi tujuan melancong dan bercuti tidak dibenarkan keluar negara,"katanya lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan maklum balas hantaran di media sosial membabitkan Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mengenai permohonan MTP isteri beliau untuk keluar negara ditolak.

Hafizh dikatakan meluahkan kekecewaannya apabila rancangannya untuk menerbangkan isterinya ke Eropah tidak diluluskan JIM.

Sebelum ini, Hafizh juga telah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana perlu menjalani kuarantin setelah kembali ke Malaysia, dengan alasan bahawa dia telah menjalani ujian calitan (swab) dan sudah diberi suntikan vaksin.- THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain