suria

Selepas sedekad bergelar ibu tunggal, wanita nikahi bekas suami lega dapat sambut Aidilfitri bertiga... harap tahun depan berempat pula!

Arnie bersyukur Aidilfitri tahun ini dapat disambut bersama suami dan anak.

SEPULUH tahun wanita ini diuji dengan gelaran ibu tunggal selepas rumah tangga yang dibina hanya bertahan selama lebih setahun.

Kisah wanita ini menjadi perhatian baru-baru ini apabila dia ditakdirkan kembali bersama bekas suami selepas sedekad berpisah.

Menerusi video yang tular di media sosial, wanita yang berkahwin pada 2009 sebelum berpisah pada 2011 itu, bernikah semula dengan bekas suami, 20 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - "Saya langsung tak ada perasaan pada dia"

Wanita itu, Wan Arnie Wan Yusoff berkata, Aidilfitri tahun ini amat bermakna kerana dapat memberi peluang kepada anaknya menyambutnya seperti keluarga lain.



Arnie (kanan) bergelar ibu tunggal selama 10 tahun.

"Tahun ini saya dapat beri anak rasa raya seperti orang lain. Dapatlah anak bersalam dengan ibu dan ayahnya di pagi raya. Sebelum ini, anak akan ikut saya balik kampung.

"Hanya raya keempat atau kelima barulah anak dapat jumpa ayahnya untuk beraya bersama. Sepanjang 10 tahun tu saya okay sebab saya balik kampung jumpa keluarga saya.

"Cuma tak sampai hati bila tengok anak saya menumpang kasih adik-adik lelaki dan adik ipar lelaki saya ketika Aidilfitri," kata wanita berusia 37 tahun itu kepada mStar.



Saling bermaafan di pagi Syawal.

Walaupun anak lelakinya tidak berkongsi kesedihan itu, dia yang lebih mesra disapa Arnie dapat menyelami perasaan anaknya itu berdasarkan naluri seorang ibu.

"Anak saya seorang yang memahami, jadi dia simpan je rasa tu. Tapi kalau ayah dia call pagi raya, nampaklah dia sedih.

"Saya tak perasan dia nangis atau tidak. Saya memang cuba mengelak untuk tengok dia bersembang dengan ayah dia masa raya sebab nanti saya yang sedih juga," ujarnya.



Arnie (kanan) dan bekas suami bernikah semula pada Mac lalu.

Menurut wanita yang berasal dari Marang, Terengganu itu, sambutan Aidilfitri tahun ini dibuat secara sederhana berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan larangan rentas negeri masih dikekalkan.

"Tahun ini raya PKP dan tak boleh balik kampung di Kampung Sungai Kerak di Marang. Tapi kami teruja dapat beli baju raya sedondon serta sama-sana mengemas rumah bersama.

Saya selalu berdoa agar anak dapat merasa kebahagiaan seperti keluarga lain, ada ayah yang turut melayan dia setiap kali Aidilfitri. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan

ARNIE

"Sekarang ni menetap di Klang, Selangor, berdekatan dengan rumah ibu mentua. Syukur sangat tahun ni, sekurang-kurangnya dah ada suami dan keluarga mentua untuk beraya.

"Sekurang-kuranynya, sedih tak boleh balik kampung diubati dengan kehadiran suami untuk ayah kepada anak saya," katanya sambil menambah baju raya mereka warna hijau zaitun.



Arnie (kiri) berharap hubungannya sekeluarga lebih erat.

Arnie yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berharap dan sentiasa mendoakan agar hubungan kekeluargaan yang baru dibinanya semula lebih kukuh.

"Sebelum ini, saya selalu berdoa agar anak dapat merasa kebahagiaan seperti keluarga lain, ada ayah yang turut melayan dia setiap kali Aidilfitri.

"Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Semoga kami sekeluarga dapat menempuh pelbagai dugaan dengan lebih tabah dan sabar.

"Semoga tahun depan kami boleh beraya berempat pula. Mohon semua mendoakan kebahagiaan kami," ujarnya yang merujuk kepada hasrat untuk menimang cahaya mata kedua.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain