suria

Tun M dilema bertanding PRU-15 – “Saya serba salah”

Dr Mahathir (gambar fail) serba salah untuk bertanding pada PRU-15. foto SHAARI CHEMAT/The Star

KEPUTUSAN sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kembali menjadi dilema bagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau mungkin akan bertanding semula pada PRU-15 nanti sekiranya menerima banyak permintaan daripada penyokong.

Bagaimanapun katanya, beliau berasa serba salah ketika ini untuk bertanding semula kerana telah membuat keputusan tidak mahu bertanding lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya ini sebab Tun M tak mahu tanding PRU akan datang - "Kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?"

"Saya serba salah, saya tidak mahu bertanding tetapi orang asyik menekan saya. Macam hari itu juga, saya tidak mahu bertanding tetapi orang menekan saya supaya bertanding juga.

"Jadi jikalau dia tekan kuat sangat, mungkinlah. Jikalau tidak berapa kuat, saya tidak bertandinglah. Jikalau orang datang berduyun-duyun di rumah, hari itu pun macam itu juga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Al-Ehsan Temonyong di Langkawi, Jumaat.

Dr Mahathir berkata, ada beberapa rombongan datang bertemu dan meminta beliau melakukan sesuatu selepas seminggu beliau meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak berhasrat bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut tempoh penggal semasa memandangkan usianya telah mencecah 98 tahun ketika itu.

Pada awal Oktober, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh memberi gambaran berkemungkinan bertanding PRU akan datang sekiranya penyokongnya tidak bersetuju beliau bersara.

Dr Mahathir berkata, hasrat beliau tidak bertanding PRU-15 sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokongnya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain