suria

“Tinggal sayang dekat sini untuk teruskan hidup” - Tweet tunang arwah Naim Hariri buat netizen sebak

Tweet Fatin Nabila Huda Ismail di Twitter mengenai pemergian tunangnya, Allahyarham Naim Hariri mengundang sebak netizen.

"I love you my dear Lillahita'ala. Kau ampunkan dosa-dosa kami ya Allah, beri jalan buat kami ya Allah. Hanya kepada-Mu aku berserah. My dear dah janji nak jaga sayang, baliklah dear"

Demikian ciapan penuh meruntun hati yang dikongsikan Fatin Nabila Huda Ismail di Twitter, sehari selepas tunangnya, Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin hilang selepas mandi di Pantai Kelulut, Marang, pada Jumaat.

Rata-rata pengguna Twitter turut sama menzahirkan rasa sedih dan simpati mereka di atas tragedi yang menimpa tunang wanita itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat nikah, anak saudara Noraniza Idris maut lemas mandi laut - “Dia pernah beritahu nak tema tradisional”

Malah mereka juga mendoakan supaya wanita itu dan ahli keluarga mangsa tabah dengan berita duka yang berkenaan.

Allahyarham Naim, 31, yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama Fatin Nabila yang dijadualkan pada Sabtu.

Allahyarham dikatakan mandi di Pantai Kelulut sebelum ditarik ombak kira-kira jam 6.40 petang Jumaat.

Mayat Allahyarham ditemui pasukan penyelamat terdampar di tepi pantai Kampung Alur Tuman, Marang jam 8.55 pagi Ahad, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Dalam ciapan terbaharu, Fatin Nabila turut meluahkan rasa sedih dengan berita pemergian bakal suaminya itu, namun dalam masa yang sama menyatakan dia reda dengan ketentuan takdir Ilahi.

"Lapangkan hati ini Ya Allah untuk reda dengan ujian-Mu, dear dah selamat di sana, syahid meninggalkan dunia. Ramai doakan dear. Tinggal sayang dekat sini untuk teruskan hidup.

"Semoga nanti sayang juga meninggal dengan husnul khotimah. Pengakhiran yang baik seperti dear. Allah sayang kita berdua, Allah sayang semua.

"Terima kasih atas doa dan ucapan dari semua, saya tak mampu nak balas satu-satu. Semoga Allah juga menjaga kita semua, agar hati tetap padanya. Ampunkan khilaf kami berdua," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Naim Hariri, lemas, Pantai Kelulut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain