suria

Ahmad Zahid tiba di Istana Kinta, sekali lagi menghadap Sultan Perak

Kenderaan membawa Ahmad Zahid masuk ke pekarangan Istana Kinta.

SUSULAN krisis politik di Perak, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di Ipoh, pagi Selasa.

Kenderaan membawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tiba di pekarangan istana sekitar pada pukul 9.50 pagi dan pertemuan dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi.

Difahamkan, kehadiran Ahmad Zahid bagi menyembah maklum keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Isnin malam berhubung usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis politik Perak: Ahmad Zahid dijangka menghadap Sultan Nazrin esok

Beliau juga dijangka mempersembahkan cadangan nama seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada Umno kepada baginda untuk diperkenan sebagai Menteri Besar yang baharu.

Turut kelihatan kenderaan membawa Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad masuk ke pekarangan istana beberapa minit selepas itu.

Media dimaklumkan, Sultan Nazrin turut menitahkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menghadap baginda pada pukul 11 pagi.

Ahad lepas, Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap Ahmad Zahid bagi menyembah maklum kemelut politik semasa di Perak.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletak jawatan, Sabtu lepas.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Usul yang dibawa Adun Pengkalan Baharu daripada BN, Datuk Abd Manaf Hashim itu menyaksikan Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang hanya memperoleh sokongan 10 undi, 48 undi menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (5), Bersatu (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain