suria

Usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri, adik disyaki terbabit penyeludupan dadah bernilai RM5 juta, kini direman 7 hari

Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri dan adik lelakinya kini direman bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit penyeludupan dadah bernilai RM5 juta. Gambar hiasan

POLIS menahan seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri berusia 31 tahun dalam satu serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan Selasa lalu, dipercayai menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkan bekalan barang terlarang itu ke negara jiran.

Memetik laporan Utusan, turut ditahan adalah adik lelaki usahawan berkenaan yang berusia 25 tahun.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua mereka ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina bernilai kira-kira RM5 juta.

Serbuan tersebut melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang, yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan menaiki kereta Ford Mustang dan menemukan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh Cina.

"Hasil siasatan, telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 43 tahun di kawasan yang sama. Dua warga tempatan terbabit merupakan ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya telah tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.

"Kita turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dalam serbuan kedua ini," katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan lanjut mendapati, dadah jenis syabu itu diseludup dari negara jiran seterusnya melalui Pantai Timur ke Pantai Barat sebelum diedarkan ke negara jiran lain.

"Hasil siasatan mendapati Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 didaftarkan di bawah nama isteri kepada adik ahli perniagaan itu yang juga seorang anggota tentera.

"Berdasarkan dadah yang dirampas, kita percaya ia mampu membekalkan kepada 253,700 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kiraan penggunaan 0.5 gram," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain