suria

Covid-19 makin ganas... Kerajaan umum PKPB selama 4 minggu di seluruh Semenanjung kecuali 3 negeri, akan pertimbang PKPD di Sabah

Hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

PENINGKATAN kes Covid-19 memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

Ia diumumkan menerusi sidang media pada Sabtu petang.

"Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

"PKPB ini dilaksanakan selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini," katanya menerusi sidang media itu.

Ujar Ismail, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB berkenan juga sama sebagaimana SOP PKPB terkini yang dikuatkuasakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jelasnya lagi, ia juga bermakna PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya berakhir pada 9 November ini dilanjutkan sehingga 6 Disember depan.

Sehubungan itu, semua institusi pendidikan di semua negeri terbabit akan ditutup sepanjang tempoh empat minggu berkenaan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai semua negeri berkenaan supaya tidak merentas negeri bagi mengelak penularan jangkitan pandemik berkenaan.

Selain itu, beliau juga memaklumkan mengenai situasi di Sabah di mana hampir keseluruhan kawasan kini berstatus zon merah.

Susulan itu, katanya, mesyuarat khas akan diadakan Isnin ini bagi membincangkan untuk memutuskan sama ada negeri berkenaan diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain