suria

Sah! Jururawat dari Selangor balik kampung di Kelantan, akibatkan 4 positif Covid-19 - “Jaga-jaga kalau ada sesiapa balik dari zon merah”

Seorang petugas menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas orang awam. -gambar hiasan

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengesahkan laporan mengenai seorang jururawat yang pulang ke dari Selangor ke kampung halaman di Kelantan baru-baru ini, mengakibatkan empat kes positif Covid-19.

"Berlaku satu kes, memang betul. Dia telah balik ke Kelantan dan telah menjangkiti empat orang positif iaitu ahli keluarganya.

"Sekarang ini, kita menjalankan saringan terhadap 127 individu iaitu 40 melibatkan pekerja dengan individu tersebut dan 87 kenalan dan ahli keluarga terdekat," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Terdahulu, dilaporkan bahawa seorang jururawat yang bekerja di Selangor dan pulang ke kampung di Kelantan, baru-baru ini, menyebabkan empat jangkitan baharu Covid-19 di negeri itu.

Selain seorang bayi berusia 22 hari yang juga anak saudara jururawat dari sebuah hospital swasta, tiga lagi neneknya berusia 75 tahun, ibu serta adik kepada jururawat tersebut.

Turut dilaporkan jururawat tersebut disahkan positif Covid-19 pada 29 Oktober lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak yang berada di kawasan zon merah yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) untuk tidak merentas daerah atau negeri ke zon hijau.

"Kalau balik ke kampung ada risiko membawa jangkitan kepada ibu bapa kita, warga emas dan kanak-kanak.

"Nasihat Kementerian Kesihatan ialah elakkan daripada merentas sempadan negeri atau daerah sebab kita berada di kawasan (zon merah) contoh di Lembah Klang, kawasan PKPB.

"Janganlah kita bawa penyakit ini balik ke kampung atau ke zon hijau. Kita mungkin akan membawa jangkitan tersebut walaupun kita tak ada gejala." katanya.

Beliau menambah, 60 hingga 70 peratus mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai gejala.

"Saya juga nak tekankan di kawasan-kawasan zon hijau, pastikan mereka juga mengambil tindakan berjaga-jaga kalau ada sesiapa yang balik dari zon merah dan cuba elakkan daripada mereka yang terdedah kepada kes-kes zon merah ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain