suria

SOP terkini, hanya 10 minit selesai majlis akad nikah... masjid, surau diminta sedia ruang solat khas buat rider e-hailing, musafir

Dr Zulkifli berkesempatan menghadiri majlis pernikahan di pejabat Jawi pagi Khamis.

SEMUA masjid dan surau di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disarankan supaya menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan, pemandu e-hailing dan juga golongan musafir.

Cadangan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri semasa sidang media khas Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan SOP Peluasan Kapasiti Solat Jumaat, Khamis petang.

"Saya juga ingin mencadangkan agar masjid dan surau di zon hijau dan kuning menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-hailing, juga mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat," katanya.

Menurut Zulkifli, lokasi di luar masjid mungkin boleh dijadikan ruang khas untuk golongan tersebut menunaikan ibadat wajib itu.

"Mungkin di luar sedikit kawasan yang dipanggil sebagai balasah atau tempat yang memungkinkan mereka solat," katanya yang turut memaklumkan jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan sehingga 1/3 daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau bagi zon hijau dan kuning di Wilayah-Wilayah Persekutuan.



Cadangan mengenai penyediaan ruang solat khas untuk rider e-hailing dan mereka yang bermusafir itu disarankan kepada surau dan masjid di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu mengenai prosedur operasi standard (SOP) akad nikah di Wilayah Persekutuan, Zulkifli berkata proses yang akan berkuatkuasa pada Jumaat itu akan selesai dalam tempoh 10 minit.

"Pagi tadi saya menghadiri satu majlis perkahwinan ikut norma baharu dan SOP ditetapkan. Alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan kepatuhan yang tinggi.

"Tempoh perkahwinan kurang 10 minit. Bagaimana saya catat dari permulaan sehingga selesai cukup pantas dan pendek, cukup pantas tetapi ikut hukum akad nikah," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah jemputan bagi majlis akad nikah pula tidak boleh melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakkan satu meter dan tertakluk dengan keluasan premis.

"Premis tersebut merangkumi pejabat agama dan juga masjid-masjid terpilih yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Jurufoto adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 jemputan tetapi hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain