suria

Gara-gara individu 'gelang pink' hadir buat aduan, sebahagian kaunter Balai Polis Sentul terpaksa ditutup sementara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penutupan itu dibuat atas arahan KKM. Foto: The Star

GARA-GARA tindakan seorang individu yang melanggar arahan kuarantin Covid-19, sebahagian kaunter aduan di Balai Polis Sentul terpaksa ditutup sementara untuk proses sanitasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penutupan dibuat atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah seorang individu tidak bertanggungjawab mengunjungi kaunter di balai polis berkenaan.

Beliau berkata walaupun sebahagian kaunter aduan ditutup, namun operasi balai berjalan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik gelang pink dipenjara sehari, denda RM8,000 gara-gara ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian

"Kejadian berlaku apabila seorang individu bergelang tangan merah jambu hadir ke balai terlibat untuk membuat aduan dirinya diganggu orang awam.

"Anggota yang bertugas kemudian mendapati individu berkenaan mempunyai simptom batuk sebelum ia dilaporkan kepada pihak hospital," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, Dengkil pada Rabu.

Abdul Hamid berkata perkara berkenaan kemudian dimaklumkan kepada pihak KKM dan kementerian itu meminta kawasan yang dikunjungi mangsa ditutup bagi operasi sanitasi.

Tedahulu tular di media sosial satu notis dikeluarkan Ketua Balai Polis Sentul memaklumkan Balai Polis Sentul ditutup sementara bertarikh hari ini (Rabu) selepas diarahkan pihak KKM melalui Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shamugamoorthy Chinniah dalam kenyataan berkata tindakan sanitasi sekitar balai berkenaan telah dibuat manakala petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan HKL.

Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa selepas selesai proses sanitasi kedua - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain