Masa untuk saya bekerja sudah bermula - Mohd Sharim

Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 undi. - fotoBERNAMA

MOHD Sharim Md Zain, yang malam ini diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Menyifatkan masa untuk bekerja sudah bermula sebaik sahaja diisytiharkan sebagai pemenang, Mohd Sharim, 41, berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan bagi tujuan itu, beliau akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat.

Mengakui dirinya masih mentah dalam hal politik, Mohd Sharim, yang merupakan generasi kedua Felda Chini 3, berkata beliau sedia untuk belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mentor.

ARTIKEL BERKAITAN: Barisan Nasional menang besar, berjaya kekalkan kerusi DUN Chini

"Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.

"Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan," katanya semasa ditemui Bernama di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini, malam Sabtu.

Mohd Sharim tiba di IKBN sekitar 8.45 malam, diiringi pimpinan Umno termasuk presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wan Rosdy, Najib, Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan bagi meraikan kemenangan beliau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga membolehkan dirinya menang besar PRK itu, iaitu dengan majoriti 12,650 undi yang diakuinya melebihi daripada jangkaan.

Jumlah itu, akui Mohd Sharim tidak boleh dicapai sekiranya pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan tersebut.

Selain pengundi, Mohd Sharim juga mengakui terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK itu yang bukan hanya melibatkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

"Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh dua minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon Bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan terhadap kemampuan mereka.

"Semangat muafakat semua membuahkan hasil malam ini apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar, dan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama," katanya.

Pada PRK itu, Mohd Sharim mempertahankan kerusi milik BN itu selepas memperoleh 13,872 undi untuk menewaskan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi manakala Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas disahkan hilang wang deposit.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PRK Chini, Mohd Sharim, BN, menang besar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain