suria

“Tak sanggup saya nak memandu van jenazah mereka” - Bapa 3 beradik mati lemas

Mohd Ismail, 64, menunjukkan gambar bersama anaknya yang dikhuatiri lemas, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, dirakam pada Aidilfitri baru-baru ini.

BIASANYA saya yang bawa jenazah orang, tak sangka kali ini tiga jenazah anak serentak sampai di rumah...tak sanggup saya nak memandu van jenazah mereka ke tanah perkuburan, biarlah orang lain yang bawa, kata Mohd Ismail, 64.

Bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong itu berkata, beliau telah berkhidmat sebagai pemandu van jenazah sejak empat tahun lalu dan tidak pernah membayangkan untuk melalui dugaan berat kehilangan tiga anak lelaki sekali gus, dalam sekelip mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa terakhir tragedi lemas babitkan tiga beradik ditemui

"Namun, saya reda kerana itulah ketentuan Allah. Syukur banyak-banyak kerana Allah permudahkan urusan sepanjang operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

"Insyaallah, mati sebab lemas akan dikurniakan syahid kecil... ketiga-tiga mereka adalah anak harapan keluarga, ringan tulang dan hormatkan orang tua. Mungkin ada kebaikan yang mereka lakukan sehingga Allah permudahkan urusan mereka," katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita.

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pelbagai pihak yang turun padang, menziarahi serta membantu melancarkan lagi urusan sehingga ke proses pengebumian jenazah yang dijangka dilakukan selepas Asar di Tanah Perkuburan Alor Limbat di Marang, Terengganu.

Terdahulu mayat pertama, Umar Iskandar ditemui di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada 9.50 pagi, disusuli mayat Khairil Firdaus, 17, pada 11.36 pagi.

Khalif Naim ialah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang dan dilaporkan baru sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran pada 10 Mac lepas.

Khairil Firdaus pula ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang manakala Umar Iskandar adalah pelajar Universiti Malaya.

Kesemua mangsa dikatakan ke sungai itu yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka kira-kira 6 petang semalam (Rabu). - BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain