suria

PKPB: Banyak kelonggaran dijangka diumum menjelang 9 Jun

Perubahan strategi daripada PKP kepada PKPB menunjukkan kejayaan yang turut disumbang oleh komitmen masyarakat.

SEKATAN ke atas aktiviti sosial serta sektor pendidikan yang bermula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka dilonggarkan dalam masa terdekat sekiranya kes COVID-19 harian di negara ini kekal pada dua angka bernilai rendah atau satu digit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan mengenai perkara itu dijangka dibuat pada minggu pertama Jun.

“Jika kita dapat mengekalkan (situasi sekarang) sehingga 9 Jun dan mengambil kira musim perayaan, mungkin kita akan buka lebih banyak sektor sosial dan pendidikan,” katanya pada sidang media COVID-19.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan wabak tidak menular sekiranya perubahan dasar diumumkan.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, kes melibatkan rakyat Malaysia menunjukkan penurunan dan peningkatan kes kebelakangan ini disumbang oleh warga asing.

“Jika kita boleh tangani kedua-dua kumpulan, kita boleh turunkan lagi jumlah kes selain melihat sama ada musim perayaan ini membawa impak jangkitan membabitkan rakyat Malaysia,” katanya.

Kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac lepas dan dilanjutkan sehingga 12 Mei sebelum bersambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan tamat pada 9 Jun dengan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula secara terkawal.

Dr Noor Hisham berkata perubahan strategi daripada PKP kepada PKPB menunjukkan kejayaan yang turut disumbang oleh komitmen masyarakat.

Justeru, beliau berharap orang ramai akan terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain