suria

Kes lari pusat kuarantin negatif Covid-19, situasi terkawal walau satu atau 2 angka dicatat menjelang 12 Mei - Dr Noor Hisham

Terdapat kes lari dari pusat kuarantin melibatkan tapak pembinaan. Gambar hiasan/Foto Bernama

KESEMUA 147 kes lari daripada pusat kuarantin adalah negatif, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kes lari tersebut bukan disebabkan masalah prosedur operasi standard (SOP).

“Ini bukan masalah SOP, jika lihat pada gelombang pertama pun ada warga China lari dari pusat kuarantin kita.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 lelaki warga asing lari dari pusat kuarantin

“Tetapi yang pasti mereka bukan positif, tapi mereka dikuarantikan sebab terdedah kepada kes-kes positf.

"Setakat ini, mereka yang telah lari dari pusat kuarantin 147 iaitu daripada kumpulan di tapak pembinaan, dan tujuh kes telah dikuarantinkan tetapi kesemua mereka adalah negatif," katanya pada siang media, petang Rabu sambil menambah kesemua mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kes lari dari pusat kuarantin berpunca daripada masalah SOP.

Dr Noor Hisham berkata, laporan polis telah dibuat dan pihak polis kini mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini media melaporkan tujuh lelaki warga asing dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin di sebuah institut pendidikan di Kuala Lumpur.

Kehilangan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal bersama suspek positif Covid-19 di Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru disedari 10 pagi, Isnin selepas doktor bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes baharu positif Covid-19 mencatatkan dua angka semasa PKP ketiga.

Menurutnya, tujuan utama PKP telah dicapai dengan melandaikan graf unjuran kes jangkitan dari tiga kepada dua angka.

"Jika kita pada PKP 3 daripada 14 hari, 13 hari tu catat dua angka.

"Dan sekarang kita dah masuk PKP empat yang dah tukar kepada PKPB (PKP Bersyarat). Dan strategi PKPB telah berubah iaitu PKP kita galakkan semua orang duduk di rumah.

"Walaupun sekarang ni kita telah laksanakan PKPB, kita masih nasihatkan mereka yang tak ada urusan supaya duduk di rumah. Tempat paling selamat adalah di rumah," tambahnya.

Beliau berkata, walaupun PKPB menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi kembali beroperasi, tetapi perlu dikawal agar tiada penularan wabak dalam komuniti.

"Jadi, tanggungjawab sosial dan kepatuhan adalah penting. Perlu patuh pada SOP oleh Kementerian Kesihatan," katanya yang menjadi Taiwan dan Korea sebagai contoh kejayaan pelaksanaan PKPB.

Dr Noor Hisham berkata, model unjuran kes Covid-19 ketinggalan seminggu, namun beliau berkata ia dapat dicapai sekiranya rakyat mengamalkan kelaziman baharu untuk mencegah penularan wabak berkenaan.

"Kita ada seminggu lagi. Modeling kita sepatutnya 5 Mei tetapi telah dianjakkan kepada 12 Mei untuk kita capai sama ada dua atau satu angka.

"Tetapi apa yang penting adalah terkawal," katanya yang merujuk kepada kapasiti dan keupayaan fasiliti kesihatan mengendalikan kes-kes Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

pusat kuarantin, lari, binaan, angka,

Artikel Lain