suria

Tahniah! Dr Noor Hisham dinobat antara 3 doktor terbaik dunia komited melawan Covid-19

Dr Hisham adalah salah seorang daripada tiga doktor terkemuka yang 'berperang' dalam perjuangan menghentikan penyebaran virus Covid-19. Foto: The Star

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dinamakan sebagai antara doktor yang terkemuka di dunia oleh sebuah stesen televisyen di China.

Pengiktirafan itu ekoran pendekatannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Menurut laporan dari China Global TV Network (CGTN), Dr Hisham adalah salah seorang daripada tiga doktor terkemuka yang 'berperang' dalam perjuangan menghentikan penyebaran virus Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

Dua doktor lain itu adalah pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka mendapat pujian ramai kerana disifatkan sebagai 'tenang, jelas dan boleh dipercayai' dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung situasi semasa wabak tersebut.

Dr Noor Hisham, 56, yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, digelar sebagai sosok yang dipercayai oleh rakyat Malaysia, kerana komitmennya yang tidak pernah lelah dalam menyampaikan fakta dan saranan kepada rakyat termasuk menerusi platform media sosialnya.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988, Dr Noor Hisham juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pembedahan Endokrin serta melakukan latihannya di beberapa universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.

Pada 1994, beliau menyandang jawatan sebagai Pakar Bedah Umum sebelum bertugas sebagai Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya pada 2004.

Mempunyai pengalaman yang luas, kredibiliti serta pengetahuan luar biasa dalam bidang perubatan membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman pada 1 Mac 2013. - THE STAR

Dr Noor Hisham, CGTN, stesen tv, Covid-19

Artikel Lain