suria

“Sasaran kita sekarang pelajar tahfiz” - Dr Noor Hisham

KKM sedang memberi tumpuan terhadap pelajar tahfiz susulan peningkatan kes dalam kumpulan tersebut. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memberi tumpuan terhadap pelajar tahfiz susulan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dalam kumpulan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kluster baharu dalam tempoh 24 jam, 39 positif Covid-19 di Sendayan

ARTIKEL BERKAITAN: Total 25 kluster, sub-kluster positif Covid-19 dikesan - Dr Noor Hisham

"Kita sekarang ada 28 kluster. Jadi tindakan kita adalah khusus kepada kluster tersebut iaitu lokaliti dan kumpulan sasar kita.

"Kita lihat juga sekarang sasaran kita selepas tabligh adalah pelajar-pelajar madrasah tahfiz.

"Setakat ini kita dapat maklumat iaitu ada 8,616 pelajar tahfiz. Setakat ini kita sudah menyaring 1,736 pelajar di madrasah tapi kebanyakan mereka sudah pulang ke rumah sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Dan kes positif pula adalah 217 kes positif iaitu lebih kurang 10 peratus. Saringan jemaah tabligh lebih kurang lapan peratus," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, untuk tujuan itu, KKM sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain untuk melakukan saringan terhadap pelajar tahfiz.

KKM pada Isnin lalu mengesan empat sub-kluster baharu Covid-19 di beberapa buah madrasah dan sekolah tahfiz yang berkait dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Selangor.

Empat sub kluster tersebut masing-masing di madrasah di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sungai Lui, Selangor; dan Jasin, Melaka.

Dalam perkembangan terbaharu yang dilaporkan pada Selasa, seramai 13 pelajar di sebuah madrasah tahfiz positif Covid-19 dan menjadi sebahagian daripada kluster di Sendayan, Negeri Sembilan.

tahfiz, kluster, sasaran, KKM

Artikel Lain