suria

UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan, SPM, STPM dan SVM ditunda ke tahun depan

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun ini, dibatalkan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang media pada Rabu.

"KPM ingin memaklumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan.

"Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain," katanya dalam sidang media berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesi persekolahan ditangguh hingga keadaan Covid-19 pulih – “Saudara sayangkan anak, saya pun ada cucu”

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: KPM arah aktiviti sukan, kokurikulum di sekolah sepanjang bulan ini ditangguhkan

Mohd Radzi dalam pada itu berkata, KPM juga akan memperkenalkan kaedah baharu memandangkan keputusan UPSR dijadikan antara kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh di peringkat menengah.

"Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata," ujarnya.

Menyentuh soal pembatalan PT3 pula, Mohd Radzi berkata perkara itu tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah di mana satu kaedah baharu akan diperkenalkan. 

"Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Sementara itu, Mohd Radzi turut mengumumkan perubahan tarikh bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan  Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"KPM ingin memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

"Untuk calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

"Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Sehubungan dengan perubahan tarikh bagi peperiksaan berkenaan, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

Keputusan terbaharu KPM ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM, manakala sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti ketetapan yang sama.

Dalam pada itu tambahnya, KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan sekalipun, akses murid kepada Pengajian dan Pembelajaran (PdP) tetap diberikan keutamaan.

"Kita sedar antara perkara yang sering dibangkitkan di mana ibu bapa dan guru hadapi kekangan bila kita cakap mengenai kelas online.

"KPM juga telah adakan kaji selidik libatkan lebih 670,000 ibu bapa dengan jumlah hampir  900,000 murid. Dalam jumlah murid ini, hanya 6 peratus punyai komputer peribadi, 5.7 peratus punyai tablet, 9 peratus punyai komputer riba dan 46 peratus mempunyai telefon pintar, selebihnya 36.9 peratus tak punyai sebarang peranti.

"Dalam konteks ini satu cabaran untuk ibu bapa yang anak-anak tak punyai peranti, dan keduanya akses internet. Sebab itu dari awal kita tekankan kepada guru-guru dalam garis panduan yang diberikan supaya ambil kira kekangan dihadapi pelajar di rumah dalam menetapkan apa kaedah yang patut digunakan untuk laksanakan PdP di rumah," ujarnya lagi. 


UPSR, PT3, KPM

Artikel Lain