Pelajar tingkatan 5, 6 atas masuk kelas dahulu apabila sekolah dibuka nanti - Menteri Pendidikan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) membuat keputusan pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara.

Antaranya adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagaimanapun, Menterinya, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata tarikh pembukaan sekolah hanya akan diumumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

"Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan ini hanya akan dibuat apabila kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

"Kita akan mulakan dengan pelajar tingkatan 5 dan 6 atas akan masuk kelas dahulu bila sekolah dibuka nanti," katanya pada sidang media di Putrajaya petang Rabu.

Beliau turut memberitahu apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

"Ya bila sekolah dibuka semua memang kita amalkan penjarakan sosial. Itu antara perkara kita teliti. 

"Sebagai contoh jika satu kelas itu ada 35 orang, mungkin kita akan gunakan dewan untuk menempatkan mereka.

"Kita telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah. Pematuhan itu wajib dipatuhi," katanya.

Mengenai pelajar lain, Mohd Radzi berkata sesi pengajaran dan pembelajaran sepanjang tempoh PKP berjalan seperti biasa menerusi sistem atas talian.

"Guru-guru menyampaikan pengajaran kepada pelajar dengan pelbagai kaedah kerana penggal persekolahan adalah berjalan seperti mana dijadualkan.

"Dalam garis panduan guru-guru awal PKP kita telah nyatakan prinsip asasnya guru perlu ambil kira kekangan yang dihadapi pelajar. Kita sedar online access ini ada kekangan," katanya.

Katanya, sehingga kini takwim sesi persekolahan di seluruh negara kekal dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Mengenai pertindihan kelas pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 6 rendah pula, beliau berkata, perkara itu turut diteliti dan akan diperincikan kaedah terbaik apabila sesi persekolahan masuk tahun baharu nanti.

"Apabila sampai masanya kita akan umumkan dan KPM akan pastikan setiap pelajar mendapat ruang secukupnya buat persediaan sebelum duduki peperiksaan masing-masing," katanya.



Artikel Berkaitan

Artikel Lain