Jangan terkejut dengar siren dan nasihat di udara, dron 3 bahasa pantau rakyat siang malam sepanjang PKP

Pemantauan diperluaskan pada waktu malam menggunakan dron lengkap dengan siren dan amaran dalam tiga bahasa.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menggunakan dron secara meluas bagi mengawal dan memantau pergerakan orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April nanti.

Jika sebelum ini digunakan pada sebelah siang, penggunaan dron kini diperluaskan pada sebelah malam yang menyaksikan dron ATM, umpamanya, digunakan dalam 'Op Penawar' bermula malam tadi bagi memantau pola pergerakan orang awam di pusat bandar serta di sekitar Lembah Klang selain turut digunakan di kawasan zon merah wabak Covid-19.

Dilancarkan empat hari lepas, lebih 10 unit dron yang dilengkapi dengan alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara yang boleh memantau pergerakan individu secara lebih meluas di kawasan sempit telah digunakan.

Apa yang menariknya, dron yang digunakan ini juga berupaya memberikan siren amaran dan nasihat kepada masyarakat untuk mematuhi PKP dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Antara lokasi penggunaan dron itu ialah di tempat-tempat tumpuan awam seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit dan Little India Brickfields.

Cara sebegini dilihat efektif bagi menyampaikan amaran dan maklumat di kawasan lebih luas dan jauh kerana masih ramai individu gagal mematuhi arahan apabila masih banyak kenderaan dilihat berada di jalan walaupun PKP sudah memasuki hari ke-12, hari ini.

Walaupun jumlah kenderaan hari ini tidaklah sebanyak jika dibandingkan pada awal PKP dilaksanakan, namun pematuhan rakyat sepenuhnya terhadap PKP yang sedang dilaksanakan haruslah dicapai 100 peratus bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 iaitu dengan cara duduk di rumah atau ‘stay at home’.

Memetik kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam, sepanjang pelaksanaan PKP, sebanyak 1,046 sekatan jalan raya diadakan dengan jumlah kenderaan diperiksa sebanyak 240,544.

Melihat keadaan itu, kerajaan terpaksa mempertimbangkan langkah komprehensif dan akan mengumumkan prosedur operasi standard baharu PKP yang lebih ketat di seluruh negara dalam sehari dua lagi.

Bagi mengurangkan kes penyebaran Covid-19, pihak berkuasa telah melakukan segala yang diperlukan dengan tidak teragak-agak mengenakan hukuman ke atas mereka yang masih berdegil.

Ini dibuktikan dalam tempoh 48 jam sahaja, hampir 400 tangkapan dibuat ke atas individu yang tidak mematuhi PKP.

Tak kenal mangsa

Antara sebab ditangkap kerana mereka keluar melakukan senaman dan menunaikan solat Jumaat. Malah ketika ditahan, ada antaranya memberi alasan mahu membeli barang sedangkan arahan PKP secara jelas mengehadkan pergerakan keluar rumah hanya untuk tujuan membeli kelengkapan harian dan dilakukan ketua keluarga saja.

Tindakan dilakukan itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mengekang penyebaran wabak ini yang tidak mengenal mangsa.

Sebanyak 159 kes baru dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 2,320 kes, manakala kematian akibat wabak itu berjumlah 27 orang.

Sementara itu, menurut Kementerian Luar seramai 86 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Kaherah, Mesir menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei Darussalam yang dijangka tiba di Bandar Seri Begawan hari ini.

Kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.25 pagi ini.- Bernama

dron, PKP

Artikel Berkaitan

Klik

Semuanya di hujung jari anda... bawakan senyuman buat mereka yang kurang bernasib baik, itulah kempen Raya HLB

HONG Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB atau Bank) memperkenalkan kempen 'Jauh Di Mata, Dekat Di Hati' sebagai salah satu usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

Tak ada idea nak masak apa? Ini 5 program memasak menarik untuk anda tune in, no.2 paling kecoh!

LIMA program masakan terbaik yang boleh anda tonton secara streaming di Astro GO

Sedih tak dapat beraya di kampung? Jom hidupkan suasana raya, menu Syawal boleh dihidang di mana-mana... Pek Ceria Raya kan ada!

TAK dapat balik kampung! Barangkali begitulah yang luahan dan keluhan kebanyakan kita yang menyambut 1 Syawal kali ini.

Jom senyum bersama tersayang sambil menonton banyak pilihan prabayar sepanjang Ramadan, Syawal... hanya di NJOI Prepaid!

TIGA pilihan pek baharu bersama 16 saluran ala-carte untuk pelanggan NJOI sepanjang Syawal ini.

Artikel Lain