suria

Beli topeng muka online untuk cegah Covid-19, 3 mangsa rugi RM15,000

Kementerian Kesihatan menyarankan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan dan kawalan jangkitan antaranya menggunakan penutup mulut dan hidung terutamanya semasa berada di luar dan kawasan tumpuan ramai. Foto Bernama

TIGA kes penipuan pembelian penutup mulut dan hidung secara dalam talian yang melibatkan kerugian berjumlah RM15,000 dilaporkan di Kedah, Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superitendan Elias Omar berkata, mangsa yang berumur 30, 31 dan 40 tahun itu membuat pembelian penutup mulut dan hidung secara dalam talian sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

"Kesemua mangsa membuat pembayaran secara dalam talian kepada penjual berkenaan namun, apabila sampai tempoh yang dijanjikan barang berkenaan tidak diterima.

"Tiga laporan berhubung kes penipuan itu diterima iaitu dua di daerah Kota Setar dan satu di Kuala Muda. Kita sedang mengesan pembekal terbabit dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Elias menasihati pengguna agar membeli dan mendapatkan bekalan penutup mulut dan hidung itu daripada pembekal yang sah bagi mengelakkan mereka ditipu pihak yang cuba mengaut keuntungan ketika kebimbangan orang ramai memuncak berikutan penularan wabak COVID-19.

"Jangan sesekali membeli penutup mulut dan hidung daripada sumber yang tidak pasti dan sekiranya ada pengguna yang menjadi mangsa penipuan segera tampil buat laporan polis supaya pihak yang tidak bertanggungjawab itu dapat ditahan," katanya.

Pada awal Januari lepas, Kementerian Kesihatan menyarankan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan dan kawalan jangkitan antaranya menggunakan penutup mulut dan hidung terutamanya semasa berada di luar dan kawasan tumpuan ramai. - Bernama

topeng muka, Covid-19, penipuan

Artikel Lain