“Mereka sudah ada perancangan melawat” - Ramai pertikai bagaimana ahli keluarga lain ‘lepas’ masuk Malaysia walau dua dah ditahan di Singapura - Semasa | mStar

“Mereka sudah ada perancangan melawat” - Ramai pertikai bagaimana ahli keluarga lain ‘lepas’ masuk Malaysia walau dua dah ditahan di Singapura

Dr Dzulkefly (dua dari kanan) sewaktu sidang media mengenai wabak koronavirus pada Sabtu. FOTO: AP/AP Joshua Pal.

PENGUMUMAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai tiga kes positif koronavirus melibatkan pelancong dari China di negara ini ternyata mengejutkan ramai.

Pelbagai komen dan persoalan yang ditinggalkan di Facebook kementerian itu selepas menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membuat sidang media pada Sabtu berhubung penularan wabak berkenaan di negara ini.

Malah, ada yang mempersoalkan kenapa individu-individu tersebut dibenarkan masuk ke Malaysia biarpun dua ahli keluarganya disahkan positif koronavirus dan ditahan di hospital di Singapura sejak Rabu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan 3 pelancong warga China masuk Malaysia positif koronavirus

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Doktor pertama meninggal dunia, jangkitan meningkat kepada lebih 1,000 kes

"Sepatutnya kalau ada contact dengan yang dah sakit di luar jangan la bagi masuk, tak kisah ada simptom atau tak. Now dah ada simptom kan membahayakan rakyat Malaysia.

"Semoga Allah lindungi rakyat Malaysia dari penyakit koronavirus dan Malaysia bebas dari penyakit tersebut.

"Kenapa tak sekat kemasukan mereka. Yang dah terlepas masuk, buru mereka. Bukan biarkan mereka berkeliaran dalam negara ni," tulis beberapa netizen.

Dr Dzulkefly dalam satu sidang media berhubung isu ini pada pagi Sabtu turut menjawab soalan sama oleh pemberita mengenai bagaimana kumpulan berkenaan boleh datang ke Malaysia, sedangkan dua ahli keluarga mereka sudah disahkan positif di Singapura.

"Awalnya kita tak tahu di mana mereka berada. Singapura pun tak maklumkan mereka ada di Johor Bahru. Tapi kemudiannya mereka bagitahu.

"Yang dua orang tu ada simptom, selebihnya tidak menunjukkan sebarang simptom. Mereka sudah ada perancangan, dua keluarga itu ada rancangan untuk melawat.

"Keluarga empat orang tu dah kembali. Semua negatif dan tiada gejala. Dah balik ke China," ujarnya lagi.

Pekerja perubatan sedang memindahkan pesakit di Hiospital Zhingnam, Universiti Wuhan, China. FOTO: AP/Xinhua New Agency.

Dr Dzulkefly dalam sidang media itu mengumumkan tiga individu positif koronavirus berkenaan merupakan ahli keluarga kepada dua lelaki China yang disahkan positif wabak sama di Singapura.

Ujar Dzulkefly, lelaki berusia 66 tahun itu bersama isteri, anak lelaki, menantu perempuan dan dua cucu menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020.

Kemudiannya, lelaki 66 tahun bersama anak lelakinya itu disahkan positif koronavirus oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) pada Rabu lalu.

Selain lima ahli keluarga itu, empat lagi individu yang juga kenalan keluarga mereka turut menaiki penerbangan sama.

Selepas dua lelaki yang disahkan positif itu ditahan di Singapura, lebihan kumpulan itu yang tidak dikesan mengalami apa-apa simptom berkaitan kemudianya masuk ke Malaysia menerusi Johor.

Hasil maklumat KKS membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor menjejaki mereka, membuat saringan sebelum tiga daripada mereka disahkan positif.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai wabak coronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), pagi Sabtu.

Keputusan itu disahkan selepas sampel klinikal dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat malam.

"Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian dijalankan MKAK adalah isteri kepada lelaki berusia 66 tahun dan dua orang cucu lelakinya, berusia 2 dan 11 tahun.

"Jadi ada tiga kes positif. Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB). Mereka kini dalam hospital bagi menerima rawatan selanjutnya dan semuanya dalam keadaan stabil manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif.

"Mereka stabil, ada simptom batuk sahaja. Tiada simptom pelik-pelik. Ada seorang lagi yang negatif, emak kepada dua kanak-kanak itu (menantu kes pertama) bagaimanapun turut dimasukkan ke hospital sebab nak jaga dua anaknya.

"Jadi sekarang ada empat di Sungai Buloh. Tiga positif dan seorang negatif," ujarnya.

Ditanya mengenai langkah sekatan terhadap pelancong dari China, Dr Dzulkefly berkata dia sudah membuat cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri dan turut memaklumkan hal itu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain