suria

Menteri sahkan 3 pelancong warga China masuk Malaysia positif koronavirus

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai wabak coronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), pagi Sabtu. Turut sama Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Norhayati Rusli.-fotoBERNAMA

KEBIMBANGAN mengenai penularan wabak koronavirus semakin meruncing apabila tiga warganegara China kini ditahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor selepas disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV).

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, tiga kes yang disahkan tersebut merupakan kalangan kontak rapat kepada dua kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).

"Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura, iaitu lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

"Mereka telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020. Kes tersebut bersama anak lelakinya didapati bergejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020. Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS," katanya pada sidang media, pagi Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Doktor pertama meninggal dunia, jangkitan meningkat kepada lebih 1,000 kes

Dr Dzulkefly berkata tiga pelancong yang disahkan positif virus tersebut adalah isteri kepada lelaki yang ditahan di Singapura berusia 65 tahun dan dua cucu lelakinya yang berusia dua dan 11 tahun yang masuk ke Malaysia melalui Johor Bahru, Johor pada 23 Januari.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan dalam keadaan stabil dan diletakkan di wad berasingan.

Dua pelancong memakai penutup hidung dan mulut sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berikutan penularan wabak novel coronavirus yang juga dikenali sebagai virus Wuhan atau penyakit nCoV. -foto Bernama

Tambah Dr Dzulkefly, walaupun ibu kepada dua kanak-kanak lelaki itu yang berusia 36 tahun didapati negatif virus, dia juga kini berada di hospital yang sama bagi menjaga dua anaknya dan dikehendaki memakai topeng muka.

"Ini menjadikan empat semuanya sedang berada di Hospital Sungai Buloh dan empat sekeluarga lagi telah dihantar pulang" katanya.

Dr Dzulkefly berkata seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu; iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua orang cucu dan satu lagi keluarga berempat terdiri dari sepasang suami isteri dan dua anak mereka, yang merupakan kawan baik keluarga kes.

Tambah Dr Dzulkefly lagi, ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai kemasukan kumpulan pelancong itu ke Malaysia menerusi Johor tempoh hari, Dr Dzulkefly berkata, mereka meneruskan rancangan perjalanan ke Malaysia selepas dua ahli keluarga tersebut dimasukkan ke hospital di Singapura.

Hasil maklumat yang dikongsikan oleh pihak KKS, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor kemudiannya bertindak segera mengesan ahli keluarga tersebut sebelum dibuat saringan yang mengesahkan mereka positif koronavirus.

Berikut merupakan kenyataan penuh Dr Dzulkefly:

KKM ingin maklumkan mengenai tiga kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan kontak rapat kepada dua kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).

Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura, iaitu lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020. Kes tersebut bersama anak lelakinya didapati bergejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020. Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS.

Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu; iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan dua anak mereka), yang merupakan kawan baik keluarga kes.

KKM telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperolehi untuk kes pertama dari KKS, yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV.

TINDAKAN KKM SETERUSNYA

Mengambilkira perkembangan terkini, pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya.

Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh KKM, justeru suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV.

Selain dari tiga kes positif yang dikesan ini, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif bagi 2019-nCoV melalui ujian makmal yang dijalankan.

koronavirus, positif, KKM, sah, nenek, cucu

Artikel Lain