suria

Video seks: “Tiada mana-mana pihak akan didakwa,” kata Peguam Negara

Tommy Thomas

TIADA mana-mana pihak akan didakwa berhubung video seks yang dikatakan melibatkan personaliti  politik berikutan tiga dapatan berasingan membuat kesimpulan bahawa individu dalam video itu tidak dapat dikenal pasti, kata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, Khamis.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia, pakar forensik di Amerika Syarikat dan laporan analisis dibuat orang persendirian mengesahkan pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Thomas berkata dalam keadaan itu dan setelah menyemak keterangan yang telah dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin yakin kerja orang dalam , "Plot mahu jatuhkan saya”

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Jun tahun lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat laporan polis berhubung video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

Dalam kenyataannya hari ini, Thomas berkata video itu dihantar untuk menentukan ketulenan dan analisis pengecaman wajah di dalam dan luar negara.

“Kenyataan saksi direkodkan oleh polis, keterangan dokumentari yang dikumpulkan dan analisis forensik merupakan sebahagian daripada Kertas Siasatan yang telah dirujuk kepada Jabatan (AGC) untuk keputusan,” katanya.

Beliau juga berkata CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walaupun video itu adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang analisis telah dijalankan.

“Disebabkan oleh dapatan CyberSecurity yang tidak konklusif, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar video itu untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di Amerika Syarikat.

“PDRM menerima keputusan analisis kedua pada Disember 2019. Laporan bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lain, ‘kegagalan untuk mengenal pasti individu-individu di dalam video yang tular adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video yang tular dan jumlah ‘frames’ video yang sedikit yang membolehkan suspek dilihat dengan jelas’,” katanya.

Thomas juga berkata secara berasingan,  PDRM juga telah menerima satu laporan analisis video yang dibuat orang persendirian tanpa diminta yang turut mengesahkan dapatan dalam dua lagi laporan bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Sejak 13 Jun tahun lepas, Thomas berkata AGC dan PDRM telah bekerjasama rapat dalam meneliti kertas siasatan berkaitan video seks itu.

Beliau juga berkata selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baharu diperoleh.

Dalam respons segera kepada kenyataan Thomas itu, Azmin berkata video  itu tidak lain dan tidak bukan merupakan rancangan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

“Walaupun mereka yang terbabit dalam pakatan jahat ini mungkin telah merancang dan berkonspirasi, saya yakin bahawa keadilan akan terlaksana. Jadi, puji-pujian kepada Allah SWT yang telah membenarkan kebenaran diserlahkan daripada perbuatan jahat ini, malah walaupun saya telah dibersihkan, saya berdoa bahawa tiada siapa lagi  akan menjadi mangsa kepada jenis politik kejam ini,” katanya dalam kenyataan.

Azmin juga menggesa kalangan pemimpin supaya menghentikan politik memfitnah, membunuh karakter dan kempen mencemarkan maruah dan sebaliknya perlu mengadakan perbincangan membina terhadap isu, idea dan kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada keluarganya yang terus mempercayainya dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi dan padu dengan tetap bersama-samanya selama beberapa bulan ini.

“Saya juga amat menghargai sokongan padu dan berterusan diberikan rakan-rakan serta orang awam, saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain