suria

Kecil bukan sebarang kecil, perlawanan bola sepak mini orang kerdil Malaysia-Indonesia buat penonton teruja

Aksi perlawanan persahabatan antara Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia dan Unit Berkarya Orang Mini Indonesia yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Kampung Bharu, petang Sabtu. Foto: Bernama

RAKYAT Malaysia digamit keterujaan menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku dalam permainan sukan, perlawanan bola sepak mini buat pertama kalinya antara orang kerdil Malaysia dan Indonesia, pada Sabtu.

Kira-kira 22 pemain daripada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dan Unit Berkarya Orang Mini Indonesia, menguasai padang bola sepak dan bermain dengan hebat dalam perlawanan persahabatan itu, yang mengagumkan dan membangkit sorakan penonton.

Amirul Zamel Daud, 29, yang hadir menyaksikan perlawanan bersama isteri dan anaknya berkata, dia meluangkan masa ke Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Kampung Baru, lokasi permainan itu diadakan untuk memberi sokongan kepada pasukan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 24 jam sebelum aksi Malaysia-Indonesia, Mufti WP temui sesuatu semasa spot check ke Wisma FAM! 

Amirul Zamel meluahkan rasa kagum melihat kehebatan peserta daripada kedua-dua pasukan dalam permainan itu.

“Saya benar-benar terkejut dengan apa yang saya lihat, ini adalah kali pertama saya menonton orang-orang kerdil bermain bola sepak. Saya tidak pernah terfikir mereka boleh menjadi begitu aktif, dengan cara mereka menggelecek bola ke arah gawang gol dan berlari pantas mengejar bola, ia sangat menakjubkan. Perlawanan ini sebenarnya lebih menarik berbanding menonton perlawanan pasukan kebangsaan kita,” katanya tersenyum.

Maizatul Jamilah Hassan, 57, yang secara tidak sengaja menyaksikan perlawanan itu berkata dia dan suaminya serta dua cucu datang ke stadium untuk bersiar-siar dan menyangka ketika itu ada perlawanan bola sepak antara kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut setelah melihat perlawanan itu sebenarnya melibatkan orang kerdil dan tidak menyangka golongan itu yang kelihatan kecil mampu bermain bola sepak, satu permainan yang agak lasak.

“Daripada perlawanan yang kita lihat hari ini, saya rasa ramai orang termasuk diri saya memandang rendah keupayaan golongan ini. Saya fikir ramai menyukai serta mahu melihat lebih banyak lagi penyertaan dan sumbangan orang kerdil dalam acara sukan kebangsaan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKOKM, Jasmi Shafie berkata beliau juga sedang berbincang dengan Ketua Unit Berkarya Orang Mini Indonesia, Usnan Batu Bara, yang membawa pemain Indonesia ke Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak acara di peringkat ASEAN dalam masa terdekat melalui sukan yang berbeza .

“Kita boleh memperluas lebih banyak permainan sukan dengan mewujudkan kejohanan peringkat ASEAN untuk orang-orang kerdil, dengan harapan lebih ramai individu kerdil boleh menjadi sebahagian daripada atlet dan diiktiraf sebagai atlet profesional.

“Sekiranya kita boleh mewujudkannya di peringkat ASEAN, kita boleh mengadakan kejohanan bola sepak di antara negara-negara di mana terdapat kejohanan untuk bahagian ini,” katanya pada separuh kedua perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan beraksi dengan sangat hebat, dan perlawanan selama 60 minit itu berakhir dengan pasukan Malaysia menjuarainya 4-1. - BERNAMA

Artikel Lain