Kematian Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner - Semasa | mStar

Kematian Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner

Muhammad Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.

MAHKAMAH Koroner memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

“Kecederaan 'blunt chest trauma' yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: "Saya dicaci maki dan dianggap berbohong" - Pakar forensik

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan pertama tanpa Adib, ibu bapanya paling terkesan... “Banyak perkara seperti rasa lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu merindui Adib, Asma kerap termenung dan tak selera makan

Beliau berkata keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara kira-kira 20 dan 30 orang berkumpul.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Rofiah berkata mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Menurutnya, saksi itu juga memberitahu, Muhammad Adib sekali lagi ditarik dan perusuh kemudian menerajang pintu EMRS sekali lagi yang mengenai tangannya hingga menyebabkan luka seret.

"Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi ditolak sepenuhnya," katanya.

Ibu bapa arwah Muhammad Adib , Mohd Kassim dan Asma.

Sehubungan itu, mahkamah menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara untuk melakukan sisatan dan pendakwaan.

Turut hadir berada di galeri awam, tunang Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Seramai 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Februari lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Sebanyak 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.

Sementara itu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mazlifah Ayob daripada Jabatan Peguam Negara.- Bernama

Muhammad Adib , Mahkamah Koroner , Inkues

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain