Reda pemergian anak, ibu dedah keadaan Md Farid sebelum hembuskan nafas terakhir - Semasa | mStar

Reda pemergian anak, ibu dedah keadaan Md Farid sebelum hembuskan nafas terakhir

Norma Mohamed. Foto The Star

JAM-jam terakhir Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir pagi Sabtu, masih fokus dalam membantu masyarakat setempat.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai itu, Norma Mohamed ketika ditemui pemberita di Kampung Serkat Laut, di Pontian, Johor pada Sabtu.

"Dia panggil pegawai dia, kata ketua kampung macam ni macam ni..selesaikan, dia mungkin tidak sempat balik, takut benda tidak selesai.

"Dia pesan pada pegawai dia kena selesaikan benda ni, kena habiskan nanti nak minta peruntukan," kata beliau yang sehingga kini masih terngiang-ngiang pesanan anak sulungnya itu.

Allahyarham, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira pukul 6 pagi Sabtu, meninggalkan isteri, Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu difahamkan menghadiri satu acara di Pontian Jaya pada Jumaat malam, selepas sampai dari Putrajaya pada Jumaat.

Selepas itu, Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, masih bertemu masyarakat sehingga kira-kira pukul 4 pagi Sabtu sebelum kemudiannya dilaporkan meninggal dunia dipercayai serangan sakit jantung di hospital, dua jam kemudian.

"Saya redha dengan pemergian Allahyarham dan mengharapkan penduduk mendoakan rohnya dicucuri rahmat," kata beliau, 67, yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjung Piai.

Kira-kira lebih 500 penduduk dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sekitar menziarahi keluarga Allahyarham sejak awal pagi tadi termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Suhaizan Kayat dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain