suria

Keluarga reda, hasrat ayah meninggal dunia di Makkah termakbul

Allahyarham Hamzah Mohamad, 80.FOTO: Sinar Harian.

KELUARGA seorang pesara guru di sini reda selepas ketua keluarga itu menghembuskan nafas terakhirnya dalam kapal terbang ketika penerbangan menunaikan ibadah itu, Khamis lalu.

Anak pesara terbabit, Ahmad Nasir, 56, berkata, beliau reda kerana bapanya, Hamzah Mohamad, 80, pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah setiap kali berangkat menunaikan haji.

“Setiap tahun arwah mengucapkan kata-kata sama menyebabkan kami sudah lali tetapi tidak sangka tahun ini kata-kata arwah itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ahmad Nasir berkata, bapanya juga tidak membawa persiapan lain selain sehelai baju Melayu dan pakaian ihram serta pelbagai buku agama termasuk yang berkaitan dengan ibadah haji.

“(Ayah) seolah-olah tahu yang dia akan meninggal dunia di sana,” katanya yang bersyukur kerana ALLAH SWT memakbulkan hajat ayahnya untuk meninggal dunia di tanah suci dan reda dengan pemergian itu.

Allahyarham Hamzah dilaporkan meninggal dunia di tempat duduk dalam penerbangan MH8170 akibat sesak nafas pada jam 1.50 tengah hari waktu Jeddah (jam 7.30 malam waktu tempatan) kira-kira satu jam untuk tiba di Jeddah.

Ahmad Nasir berkata, sebagai anak, dia dan empat lagi adik-beradiknya mengakui mereka tidak dapat untuk menyembunyikan perasaan sedih dan terkejut dengan pemergian ketua keluarga itu.

“Memang kami terkejut dan bagaikan tidak percaya bila adik ipar telefon memberitahu ayah sudah tiada. Malam sebelum ke KLIA, adik menghantar rakaman video dia mengurut ayah yang mendakwa lenguh urat.

“Ketika itu, keadaannya sihat dan kami sempat berbual mesra serta menasihatkan dia supaya banyak rehat selain adik turut membelikan kerusi roda untuk digunakan ayah ketika berada di Makkah," katanya.

Jenazah Allahyarham Hamzah disembahyangkan di Masjid Althinyan, Jeddah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makbarah Alsalihiyyah, Jeddah jam 6 pagi waktu Jeddah (12 tengah hari waktu Malaysia).

Dalam pada itu, Ahmad Nasir yang menetap di Taman Samudera di Bukit Tok Beng itu turut bercadang untuk menziarahi kubur arwah ayahnya dalam masa terdekat bersama ahli keluarga yang lain.- Sinar Harian.

Artikel Lain