suria

Ambulans terbalik: Pemandu, pesakit warga emas maut

Keadaan ambulans berkenaan yang terbalik. FOTO: Sinar Harian.

DUA termasuk seorang pesakit warga emas maut setelah ambulans dinaiki terbabas merempuh pengadang jalan lalu terbalik dalam kejadian di KM368.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Tanjung Malim, pagi Ahad.

Dalam kejadian itu, pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dari Felda Gunung Besout, Sungkai dan pesakit, Azizah Binti Dolah, 66, dari Felda Gunung Besout 2, Sungkai meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, dua lagi penumpang iaitu jururawat, Nur Aliesa Hashim, 28, dan pembantu perubatan, Khairul Azani Khairuddin,40, mengalami kecederaan ringan, manakala seorang doktor yang turut bersama mereka, Dr Ainaa Athirah Abdullah, 29, tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, kira-kira jam 7 pagi, polis menerima maklumat awam terdapat satu kemalangan maut membabitkan sebuah ambulans yang terbabas sendiri di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa ambulans itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menghala ke Hospital Slim River melalui Lebuhraya Utara Selatan, tayar belakang kanan kenderaan itu pecah setibanya di lokasi kejadian.

"Kejadian itu menyebabkan ambulans berkenaan terbabas dan melanggar pengadang tepi jalan lalu terbalik di lokasi kejadian.

"Akibat kemalangan itu, pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

"Selain itu, mangsa pesakit warga emas juga maut di tempat kejadian setelah peralatan bantuan pernafasan tercabut," katanya kepada media.

Katanya, hanya seorang lagi penumpang ambulans yang bertugas sebagai doktor tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua mangsa maut sudah dihantar ke bilik mayat Hospital Slim River untuk bedah siasat.

"Polis sudah memaklumkan kejadian itu kepada waris masing-masing dan darah mereka turut diambil untuk ujian toksikologi," katanya. - Sinar Harian.

ambulans, kemalangan, maut

Artikel Lain