suria

Ditemui selamat selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, mangsa tertekan kematian ibu

Jambatan Pulau Pinang.

SEORANG wanita berusia 36 tahun ditemui selamat di Straits Quay di George Town, Pulau Pinang selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Jumaat.

Wanita itu terjatuh dari jambatan tersebut di Kilometer 6.8, laluan menghala ke pulau, dan mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menerima panggilan daripada seorang saksi pada pukul 5.30 petang Jumaat, memberitahu seorang wanita terjun dari jambatan.

"Saksi beritahu melihat mangsa terjun dari jambatan selepas keluar dari keretanya. Bagaimanapun, mangsa berkata dia memberhentikan keretanya kerana kenderaannya itu mengalami masalah.

"Mangsa berkata dia hanya duduk di tepi jambatan itu selepas keluar dari keretanya yang rosak, tetapi kemudian terjatuh dari jambatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga mendakwa tidak tahu berenang tetapi mengetahui teknik untuk mengapungkan diri.

"Kita mendapati mangsa terkena sengatan obor-obor, dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan," tambahnya.

Che Zaimani berkata, siasatan awal mendedahkan bahawa ibu mangsa meninggal dunia 17 hari lalu.

"Menurut suami mangsa, isterinya berasa tertekan selepas ibunya meninggal dunia dan menerima rawatan psikiatri di Hospital Pulau Pinang, katanya. - The Star

Artikel Lain