suria

“Kami dah tahu menu apa yang diinginkan bila baginda ke sini”

Rosnida bersama pekerjanya menyusun tepung roti canai ketika temui di restorannya, D’Wafi yang telah menjadi restoran kegemaran Sultan Abdullah untuk bersarapan.FOTO: Sinar Harian.

"BAGINDA mula datang bersarapan di restoran saya pada 23 November 2017. Ketika itu baginda baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, singgah untuk mencuba nasi lemak dan roti canai di restoran kami.

“Masa itu kami terkejut dan tidak tahu baginda hendak datang, jadi tak ada buat apa-apa persiapan. Lama-kelamaan baharu kami tahu baginda sebenarnya tidak mengikut protokol di tempat-tempat tertentu,” kata pemilik restoran D’Wafi, Rosnida Che Soh.

Rosnida, 44, menceritakan pengalaman menyantuni Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah yang sering berkunjung ke restorannya untuk bersarapan.

Katanya, pada peringkat awal baginda hanya duduk di meja biasa bersama kariah Masjid Imam Ash Shafie di Bandar KotaSAS dan beberapa pegawai istana.

Kemudian, dia mengambil inisiatif menyediakan meja khas bersama alas meja berwarna kuning sebagai menghormati baginda yang juga tetamu eksklusif restorannya itu.

“Baginda sendiri atau pihak istana tidak ada minta dihias apa-apa, tapi kami ambil inisiatif sendiri. Kami juga sediakan pinggan dan cawan khas untuk baginda.

“Baginda amat ringkas orangnya, kami dah tahu menu apa yang diinginkan bila baginda ke sini. Roti canai garing, nasi lemak dan dua biji telur separuh masak sering dipesan,” katanya.

Sultan Abdullah akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam apabila bersarapan dan sering berkunjung ke restorannya pada jam 6.45 pagi.

Baginda akan bersarapan dua atau sekali seminggu bersama kariah masjid dan sering belanja orang ramai yang sama-sama bersarapan di situ.

“Kadang-kala Tengku Puan (Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) turut berangkat menemani baginda bersama pegawai istana. Bila baginda datang secara automatik kedai saya akan diserbu rakyat jelata yang ingin melihat Sultan Pahang lebih dekat,” katanya.

Rosnida turut menyifatkan Sultan Abdullah sebagai seorang pemimpin negara yang amat merendah diri dan lebih selesa untuk berjumpa dengan rakyat tanpa protokol.

Malah sikap sabar dan keterbukaan Sultan Abdullah menyantuni pengunjung restoran yang hendak merakamkan gambar bersama baginda turut dipuji.

“Saya pernah melihat Sultan Abdullah keluar daripada kenderaan bila tahu ada rakyat yang hendak bergambar walaupun sudah bersiap hendak berangkat pulang,” cerita Rosnida mengenai sisi peribadi Sultan Abdullah yang dikenalinya. - Sinar Harian.

Artikel Lain