suria

Jho Low dipercayai berada di China

Lokasi Jho Low bersembunyi masih tidak diketahui.

AHLI perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa dalang utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dipercayai tinggal di China, lapor Sin Chew Daily.

Memetik sumber akhbar harian itu, Jho Low baru-baru ini berkunjung ke beberapa negara seperti Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China.

Menurut laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan Biro Keselamatan Awam China untuk menjejaki Jho Low tetapi malangnya, China masih belum dapat mengesannya.

Semasa perbicaraan kes berprofil tinggi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International, akhbar itu melaporkan polis Malaysia akan menahannya secepat mungkin.

Selain Malaysia, Jho Low dikatakan dikehendaki Singapura dan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Jho Low dipercayai mempunyai kad pemastautin di Hong Kong dan memiliki sebuah kediaman mewah di sini.

Syarikatnya di Hong Kong juga beroperasi seperti biasa.

Menurut akhbar harian itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berkunjung ke China bagi membantu mengesan Jho Low.

Difahamkan Dr Mahathir akan meminta bantuan China untuk mengesan Jho Low apabila beliau menghadiri sebuah persidangan di Beijing pada 26 dan 27 April ini.

Jho Low, 1MDB, China, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain