suria

Firefly sambung operasi ke Singapura sebaik isu kawal selia selesai

SATU pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi untuk memutuskan sama ada Firefly akan menyambung perkhidmatannya ke Singapura, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

"Pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi.

"Kita masih memuktamadkan butiran-butirannya. Kita harap mereka akan menyambung perkhidmatan mereka tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kad diskaun Xtra20 KTM di Kuala Lumpur, Ahad.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata, Firefly menggantung semua penerbangannya ke Singapura kerana masih belum mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar di negara jiran.

Jurucakap CAAS berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Firefly pada 2014 mengenai penempatan semula penerbangan turboprop dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar, dan syarikat penerbangan itu bersetuju untuk berpindah.

Firefly yang merupakan anak syarikat Malaysia Airlines memberitahu, perkhidmatannya akan diteruskan sebaik sahaja pihak berkuasa berkaitan menyusun isu pengawalseliaan mengenai langkahnya ke Seletar. - The Star

Firefly, CAAM, CAAS

Artikel Lain