suria

Tapisan dalam Netflix? Ahli Parlimen bangkitkan isu kandungan LGBT, adegan seks

Pelbagai program disajikan menerusi perkhidmatan penstriman Netflix.

SEORANG ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempersoalkan kerajaan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk membendung adegan seks dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman Netflix.

Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) berkata, kandungan seumpama itu yang dipaparkan di dalam program tertentu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, jelasnya tanpa merujuk mana-mana golongan.

"Ini mengenai filem di Netflix. Adakah terdapat mekanisme penapisan berbeza antara filem biasa dan yang dipaparkan di Netflix?

"Ini kerana saya melihat adegan seks yang berleluasa dan elemen LGBT yang menyebabkan kerisauan dalam kalangan rakyat," katanya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo semasa membahaskan ucapan penggulunganya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Gobind kemudian berkata, terdapat ahli Parlimen lain turut membangkitkan kebimbangan yang sama dan beliau akan membahaskannya dengan jawapan secara bertulis di Dewan Rakyat.

"Bolehkah saya berikan kamu jawapan secara bertulis, kerana ia merupakan antara isu yang sama dibangkitkan oleh Bachok (Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS).

"Jadi, saya akan kembali kepada anda mengenai tapisan dan lain-lain isu, dan bagaimana kita menangani masalah ini," katanya. - The Star

Artikel Lain