suria

Ismail Sabri ganti Ahmad Zahid jadi Ketua Pembangkang

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu pada sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Bagan Datuk, yang bercuti daripada menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menjalankan tugas-tugas  presiden parti, berkata pelantikan Ismail Sabri dibuat berdasarkan senoriti dan hierarki dalam parti dan Barisan Nasional (BN). 

“Jawatan Ketua Whip BN yang sebelum ini disandang oleh Ismail Sabri akan diganti oleh Anggota Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ismail Sabri juga merupakan Anggota Parlimen Bera.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO akan menubuhkan sebuah Jabatan Pilihan Raya yang akan sentiasa melakukan gerak kerja, menganalisa dan menyusun strategi dalam menyiapkan jentera parti di peringkat bawah.

Katanya, jabatan itu akan diketuai  seorang yang mempunyai kepakaran dan mahu bekerja dengan UMNO dan tidak semestinya daripada kalangan barisan kepimpinan MT parti. - Bernama

Ismail Sabri, Ahmad Zahid

Artikel Lain