suria

Simbah anak dengan air panas, bapa dipenjara dua tahun, sebat

Eddy Noramin dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

AKIBAT berang dengan perbuatan anak dan menyimbahnya dengan air panas, seorang bapa, Eddy Noramin Ramli, 41, pada Selasa terpaksa meringkuk di dalam penjara selama dua tahun dan dikenakan dua sebatan.

Majistret Rosnee Mohd Radzuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Eddy Noramin yang telah membuat pengakuan bersalah di mahkamah yang sama pada 10 Januari lepas terhadap dua pertuduhan mencederakan dua orang anaknya.

Dia mengakui pertuduhan pertama di mana dengan niat telah mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan menyimbahnya menggunakan air panas sehingga melecur badannya di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam di sini di antara 1 pagi dan 2 pagi 28 Disember lepas.

Pertuduhan kedua menyatakan dia melakukan kesalahan yang sama terhadap anak lelakinya berumur 10 tahun di tempat dan masa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Rosnee menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan untuk setiap satu pertuduhan itu namun membenarkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula 6 Januari lepas. - BERNAMA

dera

Artikel Sebelum

Artikel Lain