suria

Polis temui nota bersama mayat warga Ireland mati dibunuh

Anggota polis mengusung mayat mangsa yang ditemukan mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, malam ini.- FOTO: BERNAMA

SEORANG pengaturcara komputer warga Ireland ditemukan mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, di Georgetown, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang, berkata, mayat Brian Patrick O' Reilly, 51, ditemui oleh pihak pengurusan kondominium dalam sebuah bilik di rumah berkenaan pada kira-kira jam 5 petang Isnin.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemui sekeping nota dipercayai ditinggalkan oleh suspek lelaki yang mengatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan ‘scammer' dan telah menipu wang adik perempuannya.

Beliau berkata sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pengurusan kondominium itu dan menemukan lelaki itu sudah tidak bernyawa dengan kecederaan di bahagian kepala.

Che Zaimani berkata pemeriksaan di dalam rumah mangsa mendapati peti besi di dalam sebuah bilik telah diselongkar dan terdapat kesan pergelutan berlaku," katanya sambil menambah mangsa tinggal bersendirian di kondominium itu dan baru sahaja membuka pejabatnya di negeri ini kira-kira dua minggu lepas.

Katanya, mayat itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Brian Patrick O' Reilly, Bunuh

Artikel Lain