suria

Takiyuddin dakwa tiada bayaran dibuat kepada Rewcastle Brown, tapi peguam ada bukti cek

PAS teguh dengan pendirian mereka bahawa parti atau presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membayar apa-apa kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, walaupun peguamnya mengatakan cek daripada PAS itu telah dijelaskan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) juga berkata Abdul Hadi tidak melanggar sebarang perjanjian sulit, seperti yang didakwa oleh Rewcastle Brown.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dibayar RM1.4 juta oleh PAS untuk selesaikan kes saman luar mahkamah" - Rewcastle Brown

"Ketika kami merujuk kepada penyelesaian, kami hanya menyatakan untuk mempertahankan diri daripada tuduhan oleh presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Semenyih mengatakan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle Brown.

"PAS dan Abdul Hadi tidak membayar apa-apa kepada Rewcastle Brown, dan kami berdiri teguh dengan kenyataan ini.

"Penyelesaian itu dibuat antara pihak menuntut dan defendan, dan Abdul Hadi sebagai pihak yang menuntut tidak melanggar perjanjian sulit dengan menyatakan bahawa PAS tidak membayar apa-apa kepada defendan.

"Rewcastle Brown yang melanggar perjanjian dengan mendedahkan segala-galanya," katanya.

Terdahulu, editor Sarawak Report, Rewcastle Brown mendakwa PAS melalui perantara membayar lebih RM1.4 juta kepada portal berita tersebut untuk menyelesaikan saman fitnah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap dirinya di luar mahkamah.

"Sarawak Report boleh mengesahkan bahawa menjelang akhir tahun lalu, ia ditawarkan untuk penyelesaian di luar mahkamah oleh PAS menerusi pengantara yang merupakan penyokong parti itu yang mengambil bahagian dalam keputusan asal untuk menyaman portal tersebut.

"Terdapat rundingan yang luas dengan perantara, di mana Sarawak Report mempunyai rekod yang disampaikan kepada Hadi dan ejennya dalam PAS yang terlibat dalam kes itu.

"Akhirnya, Abdul Hadi dan penasihatnya dalam PAS bersetuju dengan Sarawak Report mengenai terma termasuk pembayaran tersebut di mana perantara, seorang peguam dan seorang penyokong PAS bertemu peguam Sarawak Report di Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu untuk memuktamadkan terma tersebut," kata Rewcastle Brown seperti disiarkan dalam Sarawak Report pada Khamis. - The Star

Artikel Lain