suria

Bekas ahli Parlimen didakwa terima rasuah ansuran kereta

Noor Ehsanuddin (tengah) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto ART CHEN/The Star

BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur berhubung 14 pertuduhan menerima rasuah membabitkan bayaran ansuran bulanan kereta, berjumlah RM23,540.68.

Bekas ahli Parlimen berusia 56 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad, pada Rabu.

Mengikut dokumen pendakwaan, Noor Ehsanuddin didakwa di atas kapasitinya sebagai bekas ahli lembaga Felda kerana menerima pembayaran melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, sebuah syarikat percetakan yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Difahamkan, kereta tersebut adalah model siri BMW 3.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Bhd di Jalan Mahkota, Taman Maluri antara 10 Februari 2014 dan 9 November 2015.

Tuduhan tersebut termaktub di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Tertuduh berhadapan hukuman penjaran maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua kesalahan itu.

Dia memohon mahkamah untuk mengambil pasport tertuduh dan membuat perintah bagi tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Nor Diana juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh akan menghadapi lebih banyak tuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 Februari.

Peguam, Datuk R. Thrichelvam, yang mewakili tertuduh tidak membantah ikat jamin tersebut.

Hakim Azman membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 14 Mac.

Ahad lalu, Noor Ehsanuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di atas dua pertuduhan menerima rasuah. 

Bekas ahli lembaga Felda Global Ventures Holdings Bhd itu didakwa menerima RM50,000 daripada syarikat yang sama, Karya Hidayah, pada 6 September 2013.

Beliau turut menghadapi tuduhan kedua iaitu menerima sebidang tanah yang dikatakan bernilai RM180,000 daripada syarikat yang sama pada 23 Mac 2014 di Pejabat Tanah Kota Tinggi. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain