suria

Guan Eng pertimbang tindakan saman terhadap pihak yang persoalkan kelayakan akademiknya

LIM Guan Eng mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah terhadap sesiapa termasuk pihak media dan ahli politik, jika terus mempersoalkan kelayakan akademik Menteri Kewangan itu.

Setiausaha politiknya, Tony Pua yang membaca kenyataan akhbarnya berkata, peguam menteri itu menasihatkan Guan Eng agar memfailkan tuntutan fitnah terhadap sebarang akhbar yang terus menerbitkan penipuan untuk mempersoalkan jawatan, kedudukan dan kredibiliti beliau.

Ketika ditanya sama ada Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana menyerang beliau berhubung isu tersebut, Tony berkata kemungkinan tindakan itu diambil ada. 

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak pernah sebut ada diploma atau ijazah kulinari" - Mat Sabu

Tony enggan menjawab soalan lanjut ketika sidang media itu berlansung dengan mengatakan bahawa peguam Guan Eng telah menasihatinya supaya tidak berbuat demikian.

"Saya diarahkan oleh peguam kepada Lim untuk tidak menjawab soalan mengenai isu ini.

"Kerana perkara ini boleh dibawa ke mahkamah dan mereka tidak mahu saya tersalah kata pada sidang akhbar," katanya semasa sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat DAP pada Isnin.

Tony. - Foto Bernama

Guan Eng tidak hadir pada sidang akhbar yang diketuai oleh Tony dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Adun Pandamaran, Leong Tuck Chee.

"Isu ini adalah tidak serius, tiada keperluan untuk beliau sebagai Menteri Kewangan untuk menjawabnya," jelas Pua ketika ditanya oleh pihak media.

Di laman web limguaneng.com, Guan Eng menyatakan dalam biodatanya bahawa beliau merupakan kelulusan Monash University, Australia, dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan merupakan akauntan profesional yang bertauliah pada 1983.

Tony berkata, Guan Eng menamatkan pengajian pada 1983, sambil menambah bahawa kalendar akademik Australia berakhir pada November setiap tahun.

Tony berkata bahawa universiti mempunyai konvensyen sendiri dalam menamakan ijazah mereka, sambil menambah bahawa 'mempunyai ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak bermakna bahawa Guan Eng tidak belajar perakaunan'.

Semasa sidang akhbar itu, Pua turut mengedarkan salinan keahlian Guan Eng dengan Persatuan Akauntan Australia, yang menyatakan bahawa menteri tersebut diterima sebagai ahli sementara persatuan pada 21 Februari 1984.

Kelayakan akademik menjadi isu penting sejak beberapa kelayakan pendidikan ahli politik Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan termasuk Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Exco Kerajaan Negeri Perak Paul Yong Choo Kiong. - The Star

Guan Eng

Artikel Lain