suria

Harga tiket kereta api Bukit Bendera naik

PERBADANAN Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan menaikkan harga tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera bermula 1 April ini.

Pengurus besarnya, Cheok Lay Leng berkata tiket laluan normal bagi dewasa, kanak-kanak dan warga emas bagi laluan sehala naik RM1 iaitu RM5 kepada RM6 berkuatkuasa April nanti.

"Harga tiket baharu itu adalah bagi pemegang Mykad, Mykid, warga asing yang mempunyai permit bekerja di atas Bukit Bendera dan pasangan kepada warga Malaysia manakala harga bagi pas bulanan (RM40) pelancong asing (RM15 bagi sehala) serta promosi 'sunrise/sunset' (RM3.50 sehala) tidak berubah.

"Tiket promosi sunrise/sunset hanya boleh digunakan bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.00 pagi dan 7.30 malam hingga 9.45 malam dan untuk orang kelainan upaya (OKU) adalah percuma," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Menurutnya harga baharu itu dilaksanakan berikutan peningkatan kos operasi dan kos penyelenggaraan sistem funikular serta peningkatan kemudahan infrastruktur awam dan kemudahan di kawasan puncak Bukit Bendera.

"Peningkatan kos itu juga disebabkan oleh nilai ringgit yang lemah dan inflasi. Kali terakhir perubahan harga tiket laluan normal ini dilaksanakan ialah pada 2015 iaitu tambang untuk seorang dewasa bagi pemegang Mykad dinaikkan dari RM4 kepada RM5," katanya.

Cheok berkata pihaknya menjalankan kerja penyelenggaran utama sebanyak dua kali setiap tahun bagi memastikan operasi, kebolehpercayaan kejuruteraan dan tahap keselamatan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya kebanyakan alat gantian sistem funikular diimport dari luar negara terutamanya dari Eropah.

"Bukit Bendera menerima kira-kira dua juta pengunjung dan penduduk tempatan setiap tahun menggunakan sistem perkhidmatan funikular, laluan jip dan melalui laluan mendaki," katanya.

Beliau berkata PBBPP juga akan terus komited untuk memelihara dan menjaga warisan semula jadi serta sejarah Bukit Bendera supaya ia dapat terus dikekalkan untuk generasi-generasi yang mendatang. - BERNAMA

tiket, Bukit Bendera

Artikel Lain