Terkhilaf ketika siaran langsung, wartawan TV9 mohon maaf kepada Agong - Semasa | mStar

Terkhilaf ketika siaran langsung, wartawan TV9 mohon maaf kepada Agong

Ridhuan memohon maaf atas kesilapannya yang tidak disengajakan. Foto Facebook Ridhuan Hussain.

SEORANG wartawan Media Prima tampil memohon maaf atas kesilapannya semasa membuat lintas langsung ketika Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan timbalannya di Istana Negara pada Khamis.

Lintas langsung untuk berita tengah hari TV9, pukul 1 petang itu memaparkan wartawannya, Ridhuan Hussain menyebut perkataan Almarhum terhadap ayahanda Sultan Abdullah iaitu Sultan Ahmad Shah.

Akibat kesilapan itu, wartawan tersebut mendapat teguran daripada beberapa pihak termasuklah bekas penyampai berita Buletin Utama TV3, Saiful Nizam Ismail yang memuat naik hantaran tersebut di laman Instagram miliknya.

"Almarhum merujuk kepada mana-mana kerabat yang telah meninggal dunia! Tolonglah dik, buat kajian dulu istilah-istilah istana sebelum buat LIVE!!

"Dan perlu tahulah apa yang ko cakap bro... jangan terlalu bersemangat untuk buat siaran langsung tanpa buat kajian terlebih dahulu," tulisnya.

Hantaran tersebut bagaimanapun sudah dipadamkan.

Ridhuan turut memuatnaik posting di Instagram Saiful Nizam.

Susulan teguran itu, Ridhuan dalam hantaran di Facebook miliknya mengaku telah terkhilaf dengan menyebut perkataan Almarhum dalam liputan langsungnya.

Almarhum ialah ungkapan yang digunakan bagi merujuk kepada kerabat tertinggi istana yang meninggal dunia.

Menurut Ridhuan, dia amat kesal dengan kesalahan yang tidak disengajakan itu.

"Saya ingin merafak sembah serta memohon ampun kepada Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh kerabat Diraja Pahang atas kekhilafan itu. Tidak dilupakan, rakyat jelata Pahang secara keseluruhannya," katanya.

Ridhuan berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan tersebut.

"Sebagai seorang wartawan, saya bertanggungjawab sepenuhnya akan kesilapan itu yang mana tidak sama sekali menggambarkan kualiti serta tahap profesional sebenar yang diamalkan mana-mana saluran berita, jabatan atau syarikat yang saya wakili. Ia merupakan kesalahan saya sepenuhnya dan saya bertanggungjawab ke atasnya sendiri," katanya.

Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Jelas Ridhuan, hakikatnya kesalahan itu tidak sengaja dilakukan dan ia tidak berpunca daripada kurang maklum atau arif mengenai istilah-istilah istana.

"Namun kesilapan tetap kesilapan dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, komen-komen yang ditulis di status dimuat naik Ridhuan kebanyakannya positif kerana langkahnya mengaku silap selain perbuatan itu bukanlah disengajakan.

Untuk rekod, Sultan Ahmad Shah ketika ini berada dalam keadaan gering.

Sultan Abdullah , Almarhum , wartawan