suria

Rampas RM2.14 juta dadah, 4 ditahan sekitar Lembah Klang - Bukit Aman

Dadah jenis Heroin Base yang merupakan pati pembuatan heroin yang berjaya dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Sabtu.

EMPAT lelaki ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.14 juta, sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sejak setahun lepas.

Keempat-empat lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan Rabu lepas dalam operasi polis sekitar ibu negara dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) manakala dua lagi lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata kesemua rampasan dadah pula dibuat dalam serbuan susulan di dua kondominium iaitu di Taman Industrial Park, Seksyen 13 di Shah Alam dan tempat meletak kenderaan kondominium di Wangsa Maju.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga, kiri) menunjukkan dadah jenis Heroin Base pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Sabtu. 

Dadah yang dirampas ialah bahan asas heroin seberat 19.6 kilogram, heroin seberat 11.8 kilogram, syabu seberat 1.6 kilogram, pil erimin 5 (4,350 biji) dan pil ekstasi (3,380 biji) yang kesemuanya dianggar bernilai RM2.14 juta.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua dadah itu dibawa masuk dari negara jiran melalui negeri di pantai timur dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 950,130 pengguna dalam satu-satu masa.

Mohmad berkata dua lelaki pertama berusia 30-an ditahan di KLIA2 ketika seorang daripada mereka menghantar isteri ke luar negara, dan hasil siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Keempat-empat lelaki yang ditahan itu adalah rakyat tempatan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah, katanya sambil memberitahu mereka direman tujuh hari sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata polis juga menyita empat kenderaan iaitu Mitsubishi Triton, Perodua Myvi, Perodua Kelisa dan motosikal Yamaha dengan nilai keseluruhan RM130,000.

Sementara itu, Mohmad berkata seramai 9,739 orang yang disyaki terlibat dalam sindiket mengedar dadah ditahan di seluruh negara dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Januari tahun ini membabitkan nilai rampasan keseluruhan dianggar RM32.12 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 9,105 yang ditahan itu adalah rakyat tempatan manakala 634 lagi rakyat asing.

“Ujian air kencing mendapati 4,608 individu positif dadah dan polis turut merampas syabu seberat 598.92 kilogram; ketamin seberat 4.33 kilogram; pil eramin 5 seberat 0.40 kilogram; pil yaba seberat 2.07 kilogram; pil ekstasi seberat 4.63 kilogram; ganja 3.79 kilogram; dan heroin 35.64 kilogram,” katanya.-Bernama


Heroin Base, Bukit Aman

Artikel Sebelum

Artikel Lain